Isnin, 25 Mac 2019

Buat semakan borang calon sebelum hari penamaan

Siti A’isyah Sukaimi
 
 

SEMUA bakal calon berhasrat bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau digesa membuat semakan awal pengisian borang pencalonan sebelum hari penamaan calon.

Mereka boleh berbuat demikian di Pejabat Pegawai Pengurus iaitu di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sembilan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata, tujuan semakan awal ini adalah untuk memastikan semua bakal calon mengisi borang itu dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya kesilapan pengisian borang semasa hari penamaan calon.

“Langkah ini dapat menjamin proses penamaan calon pada hari penamaan calon berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Malah, ia juga dapat memberi peluang kepada parti yang calonnya didapati tidak layak semasa semakan awal untuk membuat persiapan sewajarnya sebelum hari penamaan calon,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadangnya kepada Pegawai Pengurus semasa hari penamaan calon di pusat penamaan calon, pada Sabtu, 30 Mac ini.

Katanya, selain itu, bakal calon turut digesa untuk membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal.

“Bakal calon juga diminta untuk mengambil pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit dibuat bagi tujuan kebenaran memasuki pusat penamaan calon.

“Ini adalah untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berjalan lancar pada hari penamaan calon kelak,” katanya.

PRK DUN Rantau ditetapkan pada 13 April ini, manakala tarikh penamaan calon pada 30 Mac dan tarikh mengundi awal pada 9 April.

Pada 18 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menolak rayuan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah tidak sah dan terbatal.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.

Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan menang kerusi itu tanpa bertanding pada PRU-14 selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agos Suyub tidak membenarkan Dr Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.