Jumaat, 8 Mac 2019

BN tidak terima keahlian parti baru termasuk Pas

Muhammad Azizul Osman
MGF08032019_MEETING-BN_22-1-681x454
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong (kiri) bercakap kepada media selepas hadir Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) turut sama Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran (kanan) di Pejabat BN, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – Parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) menegaskan BN memutuskan untuk tidak membuka keahlian baharu kepada mana-mana parti buat masa kini.

Menurut Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, ini termasuk keahlian kepada Pas yang menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia pada September tahun lalu.

“Ini bukan soal untuk menarik mana-mana parti masuk dalam BN. Itu bukan isunya, BN tak buka keahlian baharu untuk menyertai BN, Pas pun tak ada hasrat untuk sertai BN.

“Bukan perhatian kami untuk Pas masuk dalam BN dan pendirian MCA jelas,” katanya dalam sidang media bersama Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran hari ini.

Kedua-dua parti itu mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) BN bersama UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Mohamad Hasan.

MCA dan MIC sebelum ini berkata, mereka tidak kisah dengan kerjasama UMNO dan Pas yang jelas membawa kebaikan kepada BN.

Ketika ditanya mengenai hasrat MCA untuk membubarkan BN seperti yang disuarakan sebelum ini,
Ka Siong menjelaskan, desakan itu bertujuan menuntut satu tindakan dibuat terhadap BN kerana mahu melihat barisan ini kembali ke landasan asal.

“Dalam mesyuarat ini tidak boleh dibuat secara unilateral dan paksa kerana perlu ada konsensus semua parti,” ujarnya.

Untuk rekod, BN kini hanya mempunyai tiga parti utama iaitu UMNO, MCA, dan MIC yang masih bekerjasama dalam gabungan itu. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.