Selasa, 26 Mac 2019

Beranikah DAP tinggalkan gagasan ‘Malaysian Malaysia’?

Yunus Tasim
Orang Melayu melihat gagasan Malaysian Malaysia mencabar 
dan bertentangan dengan Perkara 153 perlembagaan Malaysia 
dan DAP yang memperjuangkannya sebagai sebagai menolak 
perlembagaan.
Orang Melayu memang sensitif tentang isu bangsa, agama dan hak keistimewaan mereka. Apatah lagi ia termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Sudah terpahat di batu.

Justeru untuk meraih sokongan orang Melayu, naratif politik mesti dibuat menggunakan 3 perkara tersebut. Begitu juga jika adanya “musuh” yang dihadapi, tuduhan orang Melayu akan berkisar sekitar 3 perkara itu.

Inilah yang berlaku selepas tragedi 13 Mei 1969. Naratif bercampur tuduhan dicipta khusus untuk DAP. Tujuannya untuk menjauhkan orang Melayu dari parti itu sampai ke tahap menolak DAP dan sesiapa sahaja yang bersekongkol dengannya.

“Parti orang Cina” bukan sahaja DAP. MCA, Gerakan, SUPP dan banyak lagi parti orang Cina di Sabah dan Sarawak. Orang Melayu juga tahu, orang Cina akan bersatu dalam memperjuangkan “isu Cina”. Orang Cina dalam MCA dan Gerakan pasti bersatu dengan DAP walaupun di depan kelihatan mereka bercakaran. Ini semua orang Melayu “tahu”.

Orang Melayu juga tahu Umno selama ini berjaya “membuli” dan “menundukkan” pemimpin Cina dalam Barisan Nasional (BN). Ini termasuklah MCA, Gerakan dan parti Cina dari Sabah dan Sarawak. Maka strategi Umno ialah mengisolasikan orang Cina dalam DAP sebagai satu-satunya musuh utama bagi menolak mana-mana gabungan politik yang dianggotai DAP.

Sejarah slogan “Malaysian Malaysia”

Sejarah juga memainkan peranan. Apabila PAP Malaya diharamkan setelah Singapura berpisah dari Malaysia, pemimpin PAP Malaya menubuhkan DAP pada tahun 1965. DAP mengekalkan gagasan “Malaysian Malaysia” yang didakwa dicipta oleh mendiang Lee KuanYew yang merupakan penyebab perpecahan Malaysia-Singapura.

Struktur DAP dilihat seiras dengan PAP di mana pemimpin utamanya adalah setiausaha agung parti.

Jika orang Melayu melihat PAP bertanggungjawab menguburkan hak orang Melayu di Singapura, maka hujah yang sama digunakan terhadap DAP jika mereka berkuasa di Malaysia.

Maka diciptalah pelbagai naratif negatif terhadap DAP. Tujuannya supaya orang Melayu takut dan benci terhadap parti itu. Naratif itu kebanyakannya kekal dengan DAP sehingga hari ini, walaupun ia telah menjadi salah sebuah parti kerajaan.

DAP parti chauvinis Cina, DAP=PAP, DAP anti Melayu, DAP anti kuasa politik Melayu, DAP anti hak keistimewaan Melayu, DAP anti Raja-raja Melayu, DAP anti Islam, DAP parti komunis, dan banyak lagi adalh sebahagian daripada naratif tersebut.

Bagi orang Melayu, DAP di lihat sebagai hantu jembalang jelmaan PAP dan Lim Kit Siang sebagai jelmaan Lee Kuan Yew yang begitu menakutkan orang Melayu.

Orang Melayu melihat gagasan Malaysian Malaysia mencabar dan bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia. Justeru orang Melayu melihat ahli DAP yang memperjuangkan konsep “Malaysian Malaysia” sebagai menolak Perlembagaan negara

DAP sebagai kerajaan

Orang Melayu skeptikal bila DAP memenangi pilihan raya negeri dan memerintah Pulau Pinang tahun 2008. Orang Melayu Umno sengaja mencari kesalahan dan mencipta kelemahan DAP berkaitran isu tanah orang Melayu, peruntukan untuk Majlis Agama Islam, seruan azan di masjid dan surau serta pelbagai program pembangunan lain.

Sebenarnya orang Melayu juga tahu semasa BN memerintah, bukan Umno yang memerintah Pulau Pinang. “Parti Cina” Gerakan menerajui Pulau Pinang sejak 1969. Tanah milik orang Melayu yang tergadai bukan hanya berlaku ketika DAP memerintah, malah bermula sebelum 1969 lagi.

Yang nyata segala tohmahan ciptaan Umno itu merupakan fitnah jahat. Lim Kit Siang tidak menjadi timbalan perdana menteri, tidak juga menteri Kabinet.

Tun M, PPBM dan Amanah tidak juga menjadi tunggangan DAP seperti yang dihebohkan. Orang Melayu harus sedar bahawa semua slogan dan naratif ciptaan Umno itu adalah mainan politik yang licik yang suka memecah-perintah orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Apakah DAP harus korbankan gagasannya?

Pastinya DAP telah melihat dan merasai pelbagai karenah dalam menguruskan sebuah kerajaan, sama ada pusat mahupun negeri. Mahu tidak mahu, DAP harus menerima hakikat bahawa gagasan Malaysian Malaysianya merupakan liabiliti kepada kerajaan PH.

Setiap kali pilihan raya, mantra dan naratif berhantu yang lahir dari gagasan Malaysian Malaysianya itu akan diulang-ulang oleh PAS dan Umno dan sukar untuk PH mempertahankannya.

Persoalannya, apakah DAP sanggup mengorbankan gagasan itu, sekali gus mengangkat Perlembagaan Malaysia dan Rukunegara sebagai asas perpaduan dan pembangunan negara?

Kalau DAP sanggup mengumumkan secara terbuka dan ikhlas untuk meminggirkan gagasan Malaysian Malaysia dariada perjuangannya atau menyusunnya semula supaya orang Melayu melihat bahawa DAP menerima hakikat peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia, pastinya itu merupakan pengorbanan besar yang akan membasmi politik perkauman sempit daripada kehidupan rakyat Malaysia.

Dengan itu akan berkuburlah naratif dan tuduhan perkauman yang berhantu dan menjadi langkah awal ke arah politik matang dan progresif yang melewati batas perkauman sempit dan keagamaan ekstrim yang menghambat integrasi nasional selama ini.

Tetapi, mahukah DAP mempelopori gagasan baru ini?

*Yunus Tasim adalah pembaca FMT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.