Rabu, 27 Februari 2019

WANITA UMNO SOKONG JAWATANKUASA PENYATUAN UMMAH


Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad menyokong cadangan penubuhan jawatankuasa penyatuan ummah yang melibatkan UMNO dan PAS.

Katanya Wanita UMNO bersedia memainkan peranan untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan dalam jawatankuasa tersebut demi agenda kesatuan umat di negara ini.

“Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ada memaklumkan penubuhan jawatankuasa tersebut dan insya-Allah perkara tersebut akan menjadi agenda utama selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Di peringkat Wanita UMNO sendiri telah bermesyuarat dan kami ada perbincangan dari semasa ke semasa, serta sudah banyak kali kali berjumpa buat program bersama,” katanya kepada media sejurus hadir pada Majlis Akifi Semenyih di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih pada Selasa.

Dalam perkembangan lain ketika mengulas mengenai penerimaan penduduk Semenyih terhadap Barisan Nasional (BN), Noraini yang juga ahli Parlimen Parit Sulong berkata sambutan amat positif dan memberangsangkan

“Bila kami pergi ke akar umbi terutama ke tempat-tempat awam saya lihat maklum balas amat baik malah ada penduduk yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada BN.

“Mereka memang mengharapkan BN dapat menjadi pilihan rakyat di Semenyih kali ini, situasi itu tentunya memberi galakkan kepada kami daripada parti-parti komponen BN sambil dibantu oleh PAS untuk berjumpa lebih ramai lagi penduduk di Semenyih,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.