SABTU ini, 2 Mac hari
penentu pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) akan menentukan siapa
pilihan mereka, apakah Pakatan Harapan akan kekal terajui atau BN
berjaya merampas semula Dun Semenyih?
Tiga calon, Muhammad Aiman Zainuli (PH),
Zakaria Hanafi (BN) dan Kuan Chee Heng (Uncle Kentang) setakat ini
dilihat memberi impak kepada pengundi selepas kempen masuk ke fasa
akhir.
Sementara calon PSM, Nik Aziz Afiq pula dilihat sedikit perlahan sambutan kepadanya, mungkin dilihat bukan saingan utama.
PRK Semenyih sebenarnya medan menguji
kerjasama antara komponen PH juga medan mengukuh kerjasama Umno-PAS
tatkala, di samping "test ground" kepada calon Bebas, Uncle Kentang
selaku aktivis kebajikan masyarakat mendapatkan perhatian masyarakat,
apatah lagi jolokan Kentang memberi kelebihan sebagai orang yang dekat
dengan marhaen.
PRK DUN Semenyih agak berbeza dengan PRK Parlimen Cameron Highlands walaupun dua kerusi ini adalah pernah menjadi kubu kuat BN.
Namun di Semenyih pada PRU14, kubu BN ini berjaya ditembusi PH dengan mudah.
Kemenangan BN yang turut dibantu oleh
PAS di Cameron Highlands tidaklah begitu mengejutkan, namun ia satu
amaran lisan kepada parti pemerintah.
Semenyih bisa menjadi medan menguji
kekuatan dan populariti sebenar, apakah PH mampu terus mempertahankan
kerusi ini atau BN akan kembali menguasai semula kubu tradisi mereka ini
suatu masa lalu.
Walaupun PRK ini menyaksikan saingan
empat penjuru tetapi hakikatnya betapa saingan sebenar masih tertumpu
antara BN dengan PH selain Uncle Kentang sedikit mencuri tumpuan atas
imejnya.
Selepas Cameron, Semenyih menjadi medan
tempur, malah sejak hari penamaan calon lagi gegak gempita perang
dalaman PH meletus antara kem Anwar dan kem Mahathir.
Ia terbukti menjadi medan perang
Anwar-Mahathir angkara pertemuan dengan PAS sebelum ini, dan lebih
menyerlah Anwar membelasah PAS dengan pelbagai tuduhan tidak berasas
yang mencerminkan kemelut sebenar dalam PH antara Bersatu dan Anwar-DAP.
Ramai dalam kalangan pengundi yang
ditemui sejak seminggu lalu menyatakan rasa kesal dengan percakaran
dalaman PH kerana jawatan PM.
Malah terdengar khabar bahawa pengundi
Cina secara perlahan-lahan akan memboikot calon PH kerana marahnya
mereka ke atas pertemuan Tun Mahathir dan PAS.
Apapun, PRK Semenyih ini tidak akan
mempengaruhi kedudukan kerajaan negeri yang masih dikuasai kukuh oleh
PH, namun keputusan di Semenyih dilihat cukup penting dalam mempamerkan
mood sebenar pengundi khasnya kalangan dua blok besar pengundi bandar
iaitu Melayu dan Cina.
Apakah trend Melayu kembali kepada
Umno-BN yang dibantu PAS akan menjadi kenyataan mengenepikan kemenangan
PH, atau undi Cina berpecah akibat pergolakan dalam PH akan mengubah
lanskap politik Semenyih.
Kehadiran Menteri Besar Selangor,
Amiruddin Shari selaku MB baharu, bakal menjadi signal awal kepadanya
yang dilihat kurang tertonjol berbanding MB terdahulu.
Hal ini penting kerana kita percaya
tempoh berbulan madu meraih kejayaan membentuk kerajaan pusat dan buat
pertama kali setelah menumbangkan BN sudah berakhir.
Dalam suam-suam kuku kempen PRK
Semenyih, kita pula dihidang dengan pelbagai isu kontroversi dan
sensitif yang telah berlaku sehingga kelihatan menggores hati dan
perasaan orang Melayu dan umat Islam.
Provokasi melampau seperti hina Nabi SAW
yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab semakin membimbangkan,
malah ia menyemarak kemarahan Melayu Islam.
Malah keadaan ekonomi global dan negara yang masih bergelora dilihat mengeruhkan lagi keadaan yang sedia keruh.
Di pihak BN, inilah masa sesuai untuk
mengembalikan keyakinan rakyat agar kembali menyokong BN khasnya Umno
yang kini bekerjasama dengan PAS.
Apa yang penting, BN jangan leka dengan
kemenangan di Cameron Highlands, sebaliknya perlu terus bangun mendekati
rakyat dan meyakinkan rakyat bahawa BN sudah menginsafi kekalahan pada
PRU14 dan sudah bersedia untuk melakukan perubahan secara besar-besaran
untuk meraih kembali kepercayaan dan sokongan yang hilang.
Apapun keputusan pengundi ini juga
sedikit sebanyak tertakluk kepada kebijaksanaan semua calon yang
bertanding dalam meyakinkan mereka.
Kata kunci PRK Semenyih, siapa berjaya
memenangi hati golongan atas pagar dan mendapatkan undi asas
masing-masing pada tahap paling maksimum maka ia akan boleh dijulang
sebagai pemenang.
Dalam masa yang sama, calon, jentera dan
pemimpin perlu betapa PRK akan banyak memberi fokus kepada isu setempat
berbanding PRU yang banyak dipengaruhi isu nasional.
Isu yang berlegar dalam kalangan rakyat
adalah isu pembangunan yang dikatakan tidak seimbang serta isu kesesakan
jalan raya khasnya di pekan Semenyih dan sekitar di samping pelbagai
isu tempatan yang lazim seperti isu keselamatan dan kemiskinan.
Apa yang penting, fasa akhir kempen ini
calon dan jentera kesemua pihak bertanding wajar menggunakan tempoh
kempen yang ada untuk mendekati semua pengundi dan menyatakan aspirasi
mereka secara tuntas.
Sama ada politik stabil akan menang atau
bekas parti pemerintah akan kembali menerajui bagi menyusun langkah ke
PRU15, signal jelas pengudi Melayu boleh membantu BN setidak-tidaknya
mengecilkan majoriti PH.
Seperkara lagi, pembangunan, rasuah undi
dan propaganda tersembunyi atau terang dewasa ini sukar disembunyikan
jika ia berlaku kerana pengundi kini sedar hak mereka. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.