Jumaat, 22 Februari 2019

Tunggu masa sesuai hapus tol, hutang negara masih RM1 trilion


Norlaile Abd Rahman



MGF22022019_MAJLIS-MENANDATANGANI-PERJANJIAN-NOVASI-LRT-314-681x455
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap dalam sidang media pada Majlis Menandatangani Perjanjian Novasi untuk Transit Aliran Ringan (LRT) 3 di Menara UOA Bangsar, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI,
 

KUALA LUMPUR- “Apakah saya yang akan umumkan penghapusan tol? Tunggulah masanya, kita tengok siapa yang umum.

“Saya tidak boleh cakap apa-apa sekarang kerana kita masih lagi menantikan masa yang sesuai,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika ditanya mengenai kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan mengumumkan sesuatu mengenai tol tidak lama lagi.

Jelas Guan Eng, kerajaan Pakatan Harapan tidak pernah lepas tangan terhadap komitmen-komitmen yang telah dibuat dalam manifesto pilihanraya umum ke-14 yang lalu.

Bagaimanapun, kos yang terlalu tinggi dan tidak munasabah yang perlu ditanggung kerajaan membuatkan cadangan untuk menghapuskan bayaran tol terpaksa ditangguhkan.

Penghapusan bayaran tol merupakan salah satu manifesto yang sepatutnya dilaksanakan Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari pemerintahannya.

“Kita tidak cakap kita tidak mahu buat (menghapuskan tol) kerana ia adalah komitmen yang kita sudah buat dan ia masih berterusan.

“Bagaimanapun, melihat kepada keupayaan kerajaan (kita tidak mampu) kerana kos yang tinggi dan tidak munasabah tetapi kita tetap berusaha,” katanya semasa sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian novasi di antara Prasarana Malaysia Bhd. dengan MRCB-George Kent Sdn. Bhd. dan sembilan Kontraktor Pakej Kerja bagi projek LRT3 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mengakui hutang negara masih melebihi paras RM1 trilion meskipun selepas lebih sembilan bulan pemerintahan kerajaan bertukar tangan.

Katanya, memang terdapat pengurangan dalam hutang sejumlah RM1.087 trilion itu tetapi jumlahnya amat kecil walaupun pelbagai kaedah telah diambil kerajaan untuk mengurangkan paras hutang negara.

Ini, katanya, termasuk menyemak semula beberapa projek mega inisiatif kerajaan Barisan Nasional seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), keretapi berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura serta mengurangkan kos pembinaan projek yang sedang berjalan seperti LRT3.

“Saya perlu dapatkan angka yang tepat terlebih dahulu, memang ada pengurangan tetapi terlalu kecil.

“Ia masih melebihi RM1 trilion,” katanya lagi.

Jelas Guan Eng, angka tersebut merangkumi jumlah bon yang dijamin kerajaan.

“Kerajaan berfungsi sebagai penjamin dan apabila syarikat tersebut contohnya 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) tidak mampu membayar hutang mereka, kerajaan terpaksa bayar,” katanya.-MalaysiaGazette


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.