Peguam, Datuk K. Kumaraendran berkata, kenyataan seumpama itu tidak adil kerana faktor sebenar peletakan jawatan itu masih belum diketahui.
Ia tidak seharusnya diberi kesimpulan sebegitu rupa, katanya.
Menurut Kumaraendran, menuduh keenam-enam anggota SPR itu tidak akan membantu melicinkan proses siasatan sebaliknya membuatkan orang ramai semakin meragui kewibawaan badan perundangan negara sebenarnya.
“Kenyataan seperti ini sangat dikesali, tidak adil dan keluar pada waktu yang tidak sepatutnya. (Saya) sangat kesal dan terkilan dengan kenyataan seumpama ini apatah lagi dari mulut Peguam Negara,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Kumaraendran berkata demikian mengulas dakwaan Tommy yang peletakan jawatan enam pesuruhjaya SPR itu hanya cubaan menggagalkan siasatan tribunal khas yang ditubuhkan bagi menyiasat salah laku mereka sebelum dan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14.
Media semalam menyiarkan kenyataan Tommy yang mendakwa, peletakan jawatan keenam-enam individu berkenaan dibuat serta merta sebaik sahaja menerima laporan bahawa kerajaan telah menubuhkan satu tribunal khas.
Beliau berkata, tindakan berkenaan dibuat khusus untuk mengelakkan diri daripada dipecat jika terbukti mereka terbabit dalam salah laku sepanjang pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Menerusi satu kenyataan semalam, Tommy menjelaskan yang dirinya bertanggungjawab untuk memperincikan pendirian Pejabat Peguam Negara yang prosiding tribunal khas itu bukan berbentuk akademik.
“Faktor utama penubuhan tribunal ini ialah untuk melihat jika wujud sebarang salah laku oleh keenam-enam individu berkenaan dan mencadangkan kepada Yan di-Pertuan Agong untuk tindakan sewajarnya sekiranya ia benar berlaku.
“Tribunal ini perlu melakukan siasatan terlebih dahulu berhubung 13 dakwaan yang dikenakan ke atas beliau untuk menentukan (jika wujud) sebarang salah laku,” katanya.
Keenam-enam individu terbabit adalah Tan Sri Othman Mahmood, Datuk Md Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk K. Bala Singam Karupiah dan Datuk Leo Chong Cheong.
Isnin lalu, tribunal berkenaan dimaklumkan bahawa sebarang penemuan adalah hanya bersifat akademik kerana kesemua individu yang dinamakan itu sudah meletak jawatan.
Mengulas lanjut Kumaraendran berkata, pendirian tribunal berkenaan untuk mengambil tindakan ke atas mereka disifatkan agak ganjil kerana tiada pemecatan boleh dilakukan jika semua defendan sudah meletakkan jawatan masing-masing.
“Saya menyokong jika penemuan tribunal ini bersifat akademik seperti yang dikatakan sebelum ini tetapi apabila membaca kenyataan Peguam Negara, saya merasakan situasi ini agak ganjil.
Tribunal itu sudah bersidang tetapi masih belum membuat sebarang keputusan berhubung isu yang dibangkitkan bahawa ia bersifat akademik susulan peletakan jawatan kesemua individu berkenaan.
Sebelum ini, peguam yang membantu tribunal, M. Puravelan dari Majlis Peguam Malaysia, berkata tujuan penubuhan tribunal itu tidak lagi bermakna selepas peletakan jawatan enam ahli SPR itu.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.