THE MALAYSIAN TIMES
SEMENYIH: Kerajaan sememangnya bercadang untuk mengambil alih konsesi lebuh raya di negara ini namun ia akan dilakukan secara berperingkat dan perlu melalui proses yang betul, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata proses pengambilalihan tol lebuh raya memerlukan perbincangan menyeluruh seperti melihat kembali perjanjian yang ditandatangani serta implikasi kewangan yang bakal terjadi selepas pengambilalihan tersebut, lapor Bernama.
“Satu per satu lah (ambil alih tol), tadi kamu (pemberita) kata beban kewangan besar bila laksanakan ambil alih.
“Apabila kerajaan ambil empat (tol) kata
tidak ada kemampuan nak bayar, sekarang nak suruh ambil lagi satu pula,”
katanya kepada pemberita di sini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan
Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang bertanya mengapa kerajaan
tidak turut mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya milik Plus
Malaysia Berhad (PLUS).
Sabtu lalu, Pejabat Perdana Menteri
mengeluarkan kenyataan kerajaan sudah pun memulakan rundingan dengan
Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang
syarikat terbabit mempunyai pegangan majoriti.
Menurut kenyataan itu, kerajaan berhasrat
untuk memansuhkan mekanisme tol sedia ada apabila berjaya mengambil alih
lebuh raya berkenaan.
Berdasarkan kenyataan itu, ‘congestion
charge’ atau caj kesesakan akan diperkenalkan, yang mana pengguna akan
hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia
ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.
Semasa tempoh ‘off-peak’ (luar waktu
puncak) antara 11 malam dan 5 pagi, penggunaan lebuh raya adalah
percuma. Bagi penggunaan waktu biasa, pengguna akan menikmati diskaun 30
peratus berbanding kadar tol sedia ada.
Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya
Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint),
Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.