Isnin, 25 Februari 2019

PSM gelar kerajaan PH sombong



   
PRK SEMENYIH | Calon Parti Sosialis Malaysia Nik Aziz Afiq Abdul mengecam kerajaan PH yang dianggapnya sombong kerana enggan mendengar suara rakyat.

Kemarahan Nik Aziz itu diluahkannya selepas salah seorang pemimpin pemuda parti itu didakwa gagal bertemu dengan pegawai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak PH menjadi kerajaan.

Kata Nik Aziz dengan "kesombongan" PH itu adalah wajar pengundi di Semenyih memenangkan PSM agar ia dapat memberi pengajaran kepada PH dan memahamkan kerajaan bahawa suara rakyat mesti didengari.

"Jujur saya cakap, kerajaan sekarang bersikap sombong untuk mendengar suara mahasiswa.

"Kerajaan juga berasa terlalu selesa kerana menang besar," katanya.

Justeru jika kata Nik Aziz, jika PSM menang di Semenyih ia akan memaksa kerajaan berfikir panjang sebelum membuat sesuatu keputusan.

Terdahulu Nik Aziz mengulas kegagalan pemimpin pemuda parti itu, Sharan Raj, untuk berbincang mengenai isu PTPTN dengan kerajaan.

Jauh nak ke sekolah
 
Sharan yang turut hadir bersama Nik Aziz mendakwa pertemuan dengan wakil PTPTN itu ditunda sehingga empat kali.

Ketika zaman BN, kata Sharan, PSM pernah hadir menyerahkan memorandum kepada PTPTN dan mengadakan protes.

Namun katanya di bawah pemerintahan PH mereka tetap gagal mengadakan pertemuan dengan pihak yang berkenaan walaupun menghubungi pegawai khas menteri pendidikan.

"Apabila kita datang hantar surat bersama sekumpulan orang, mereka kata, kita perlu guna saluran yang betul.

"Sekarang kami cuba guna saluran yang betul tetapi mereka tetap abaikan. Mereka kata tak terima surat (makluman) daripada kami," katanya.

Menurut Sharan PSM mahu mencadangkan langkah bagi meringankan beban dan tanggungan peminjam PTPTN. Misalnya menghapuskan kadar faedah 1 peratus yang disediakan di bawah skim ujrah.

Sementara itu Nik Aziz menggesa kerajaan menyediakan semula kelas tingkatan enam di SMK Bandar Tasek Kesuma yang ditamatkan tiga tahun lalu.

Katanya tanpa kemudahan itu di sekolah terbabit pelajar yang mengikuti kelas tingkatan enam terpaksa ke Sekolah Tinggi Kajang yang terletak kira-kira 15km dari Semenyih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.