Wartawan Watan-Online
Pakatan Harapan (PH) sekali lagi menggunakan taktik kotor dan terdesak apabila memaksa peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk mengundi calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang bakal berlangsung 2 Mac ini.
Ketua Wanita UMNO Hulu Langat, Ruhani Kasim berkata tindakan PH merupakan sesuatu yang tidak rasional dan tidak demokrasi.
“Saya hari ini menemani pengadu yang merupakan pengundi di sini. Menurut pengadu, dia telah menerima satu panggilan telefon daripada ketuanya dalam AIM untuk mencari sebuah rumah dengan tujuan mengumpulkan semua peminjam dan ahli keluarga untuk dipaksa mengundi PH.
“Setiap pengundi mempunyai hak untuk mengundi siapa sahaja yang mereka suka. Tidak perlu mereka ini dikurung dan dipaksa,” katanya kepada media sejurus membuat laporan polis mengenai kes tersebut di Balai Polis Kajang pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ruhani berkata laporan polis akan terus dibuat sekiranya mendapat maklumat mengenai individu lain yang turut dipaksa mengundi PH.
“Kita juga akan terus membuat laporan polis bila kita dapat mengumpulkan peminjam lain yang turut dipaksa.
“Ini adalah satu tindakan terdesak PH yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.