MALAYSIAKINI
Sekumpulan NGO mendakwa komitmen kerajaan Johor masih rendah dalam menangani isu tanah yang melibatkan isu alam sekitar.
Dalam kenyataan bersama 42 organisasi, mereka menggesa kerajaan negeri lebih tegas menangani isu resort golf yang dibina di sebuah hutan bakau.
“Isu ini telah timbul dua bulan setelah media melaporkan pembatalan warta status Pulau Kukup sebagai Taman Negara.
“Jelas kerajaan negeri tidak bertindak positif terhadap kedua-dua isu ini dan ia juga menunjukkan tiada usaha dari mereka untuk memperbetulkan keadaan.
“Pada pendapat kami, kerajaan baru perlu menunjukkan ketegasan kepada orang awam dan memperbetulkan sebarang salah laku rejim lama,” katanya.
Pada 14 Februari lalu, laporan khas Malaysiakini mendedahkan pembinaan resort golf dan pembangunan hotel di Sungai Pulai, paya bakau terbesar di Semenanjung Malaysia yang masih tinggal.
Pada Disember tahun lepas, Pulau Kukup didapati tidak lagi diwartakan sebagai taman negara dan akan dijadikan sebagai taman kesultanan bawah pemilikan Sultan Johor.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata fungsi Pulau Kukup akan dikekalkan sebagai taman negara.
Namun kerajaan pusat tidak bersetuju dengan langkah tersebut kerana ia akan menyebabkan pulau itu kehilangan pengiktirafan yang sah sebagai taman negara.
Johor yang dipimpin oleh Pakatan Harapan telah menyalahkan kerajaan terdahulu dalam isu berkaitan kedua-dua projek itu.
Badan bukan kerajaan tersebut yang diketuai oleh Johor Yellow Flame meminta kerajaan negeri untuk menghentikan segala aktiviti pembangunan kawasan kritikal dan mengeluarkan kenyataan terperinci mengenai kerja-kerja pemeliharaan rizab bakau.
Menurut mereka, jika keadaan memerlukan, kerajaan pusat harus campur tangan mengenai isu ini.
“Jika kerajaan Pakatan Harapan tidak melakukan apa-apa atau berdiam diri, tahap keyakinan rakyat terhadap kerajaan akan merudum, selain mencalarkan imej negara”, kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.