Jumaat, 1 Februari 2019

Najib tanya kenapa harga kamera AES lagi mahal dari zaman BN

Muhammad Azizul Osman

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
Najib Razak


KUALA LUMPUR – Kesediaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menambah kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di semua lebuhraya tidak terlepas daripada kritikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mendapati, harga sebuah kamera AES meningkat sebanyak RM30,000 bagi setiap unit berbanding RM170,000 yang dipasang pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Kos untuk membeli setiap kamera ialah RM170k, dia membuat sidang akhbar untuk menuduh kerajaan BN terlebih bayar 10 kali ganda untuk kamera-kamera ini. Dia kata dia pernah mencari pembekal-pembekal kamera dari Amerika Syarikat dan Eropah dan mendapat maklumat bahawa kos sebenar hanya RM15 ribu setiap kamera.

“Walaupun kerajaan BN dahulu menjelaskan bahawa kos setiap kamera termasuk kos untuk memasang, menyelenggara, latihan dan kos sistem, insan ini tetap tolak penjelasan kita dan tuduh kita rasuah.

“Hari ini, Menteri Pengangkutan PH kata kos untuk setiap kamera ialah RM200,000 iaitu lebih mahal berbanding kos RM170,000 di bawah BN. PH juga akan tambah lagi 11 kamera AES dan mereka tidak lagi memberi sebarang diskaun,” katanya di Facebook rasminya hari ini.

Jelas Najib, sebelum ini Pengerusi untuk Kempen Anti Saman Ekor (KASE) itu sering memperlekeh pelaksanaan AES di Parlimen dan sering mendesak agar rakyat tidak membayar saman AES.

Untuk rekod, Datuk Mahfuz Omar yang kini Timbalan Menteri Sumber Manusia adalah Pengerusi KASE ketika itu.

“Teringatlah saya pernah adanya seorang insan yang kini Timbalan Menteri di dalam kerajaan PH.

Insan ini dulunya presiden untuk kempen anti saman ekor (KASE) yang konsisten menyerang sistem AES. Pejuang berani mati mansuh AES.

“Kerana dia kata AES tidak adil, hanya untuk memeras wang rakyat, menekan dan menzalimi rakyat yang semakin hari dihimpit kesempitan ekonomi.

“Oleh itu, insan ini sering menyeru orang ramai untuk tidak bayar saman AES dan membuat demonstrasi,” katanya lagi.

Bulan lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata 11 lagi kamerea AES akan ditambah bagi mengurangkan kemalangan yang berlaku di lebuhraya-lebuhraya yang kebanyakannya berpunca daripada pemanduan melebihi had laju yang dibenarkan.

AES mula diperkenalkan di zaman Najib pada 2012 dan diintegrasi bersama Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) menggabungkan kamera dengan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA)

Bagaimanapun pada Ogos tahun lalu, PH brtindak membatalkan 3.1 juta saman yang membabitkan nilai RM435 juta. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: TERKINI : Kamera AES Akan Ditambah – Anthony Loke

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.