Tular kisah OKU, Ishak Awi tak layak terima bantuan sara hidup
PUTRAJAYA
– Kementerian Kewangan hari ini menafikan laporan bahawa orang kelainan
upaya (OKU) bujang tidak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH).
Merujuk
kepada laporan mengenai seorang lelaki OKU bujang tidak memenuhi
kelayakan untuk memohon BSH 2019, kementerian itu berkata, kerajaan
melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat turut membantu lebih daripada
140,000 OKU dengan bantuan Elaun Pekerja Cacat atau Bantuan OKU Tidak
Berupaya Bekerja.
“Oleh itu,
individu yang dilaporkan telah pun menerima Elaun Pekerja Cacat
sebanyak RM400 sebulan dan layak menerima bayaran BSH untuk kategori
bujang sebanyak RM100,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari
ini.
Kementerian Kewangan berkata, tiga juta orang dalam kategori bujang akan menerima BSH sebanyak RM100 pada hujung bulan hadapan.
Kisah
Ishak Awi, 59, dari Kuala Terengganu yang terkilan setelah tidak layak
menerima BSH 2019 menjadi tular. Ishak yang kudung dua belah kaki serta
cacat tangan kiri dilaporkan belum layak memohon kategori warga emas
kerana belum berusia 60 tahun.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan
kini menumpukan kepada proses pendaftaran dan kemas kini maklumat untuk
program BSH yang juga memberi kadar tambahan mengikut bilangan anak
bawah tanggungan.
Menurut
Kementerian Kewangan, kadar tambahan BSH 2019 sebanyak RM120 diberikan
untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah, terhad kepada empat anak,
dan bagi anak OKU tidak dihadkan umur.
“Dalam
konteks ini, Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa ibu bapa
tunggal dengan tanggungan turut layak dan diberikan BSH pada tahun
2019.
“Bagi warga emas yang melebihi 60 tahun, mereka juga layak menerima BSH sama ada berstatus berkahwin atau bujang,” katanya.
Kementerian
Kewangan berkata, kerajaan akan terus menyalurkan bantuan kepada
golongan berkeperluan untuk meringankan beban kos sara hidup mereka
berdasarkan kemampuan yang ada, sebagai sebahagian daripada
tanggungjawab kepada rakyat. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.