Ditemui pemberita selepas program sembang santai pemimpin parti pemerintah dengan penduduk Kampung Sungai Lalang Baru, Aleh Abdullah, 53 berkata “Cik Dollah” menyediakan ucapan itu kerana dia tidak pandai mengarang ucapan.
Aleh tidak mengiyakan pertanyaan pemberita ketika ditanya sama ada dia disuruh membacakan ucapan itu.
“Dia tulis dan saya ikut,” katanya kepada pemberita selepas progam bersama Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Amanah, Hanipa Maidin.
Tok batin ini ditemui pemberita kerana dia dilihat begitu bersemangat menyatakan sokongan kepada calon PH, Muhammad Aiman Zainali dan kerajaan semasa berucap kepada kira-kira 50 orang masyarakat Orang Asli.
“Saya separuh, ada pegawai itu bagi separuh. Ada sikitlah, yang banyak saya. Yang tulis dia lah, kalau saya tulis lain pula, macam budak 1-2-3,” katanya.
Aleh bagaimanapun mengingatkan pemberita bahawa undinya rahsia, dan dia sendiri akan tentukan calon mana yang layak menerima undinya pada hari pengundian 2 Mac nanti.
“Awak pangkah ini, pangkah itu, itu masing-masing kan,” katanya sambil tersenyum.
Dapat hamper, jamuan
Sementara itu, Aleh memaklumkan pemberita tentang satu jamuan makan-makan untuk Orang Asli Kampung Sungai Lalang Baru pada Selasa. Dianjurkan oleh PH, acara itu nanti juga akan ada karaoke dan pemberian hamper, katanya.
Keadaan itu menyebabkan Aleh, seorang pemimpin masyarakat, berasa serba salah.
“Mereka cakap sepatutnya hamper-hamper tak boleh, untuk memujuk orang mengundi.
“Tapi saya tengok boleh, hairan pula. Kalau orang lain, nanti diambil gambar. Serba salah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.