Sabtu, 2 Februari 2019

Asyraf jawab Dr M: Kerjasama Umno-PAS atas nama Islam

MALAYSIAKINI

   

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Dr Mahathir Mohamad semakin terdesak apabila terus mengkritik kerjasama PAS dengan Umno yang dilabel sebagai "parti kafir".

Asyraf berkata, beliau "kasihan" dengan perdana menteri itu, namun menegaskan Umno dan PAS akan terus menjalinkan kerjasama atas nama Islam dan penyatuan ummah.

"Terdesak sungguh nampaknya Tun, saya kasihan dan simpati. Sekurang-kurangnya Umno sudah melepasi era 22 tahun Tun sebagai presiden Umno dulu yang sentiasa tanam perasaan benci pada PAS.

"Insya-Allah Umno dan PAS akan terus menjalinkan kerjasama atas nama Islam dan penyatuan ummah kerana itulah yang rakyat mahukan," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Semalam Mahathir berkata, kemenangan pembangkang mempertahankan kerusi parlimen Cameron Highlands baru-baru ini disebabkan kerjasama di antara PAS dan "parti kafir" yang dikenali sebagai Umno.

Tetap sinis seperti selalu, perdana menteri berkata gelaran 'kafir' itu bukanlah datang daripada beliau.Sebaliknya, kata Mahathir, gelaran itu diberikan sendiri oleh PAS pada suatu ketika dulu.

"Sebab mereka (pembangkang) menang, kita percaya kerana adanya gabungan di antara PAS dengan parti 'kafir' Umno," kata Mahathir kepada media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Sementara itu, Asyraf berkata kelemahan dan kesilapan lalu akan dijadikan iktibar oleh parti itu.

Apa yang lebih penting katanya, parti itu perlu untuk terus maju kehadap dengan memastikan kepentingan Islam terpelihara dan kepentingan rakyat pelbagai kaum terbela.

"Siapa yang bersetuju dengan kerjasama Umno dan PAS boleh zahirkan pendirian saudara dan saudari di sini," kata Asyraf pada suatu hantaran di Facebook hari ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.