Pemuda Umno Kelantan beranggapan kerjasama politik di antara antara parti itu dan PAS kini tidak perlu lagi dibuat secara sembunyi (rahsia).
Penolong Setiausaha Pemuda Umno Kelantan, Saipuddin Mohamad, berkata setelah beberapa kali percubaan kerjasama dilakukan termasuk di Sungai Kandis dan Seri Setia sebelum ini, di Cameron Highlands kesepaduan yang lebih jelas dapat dilihat.
"Kehendak politik semasa mahukan penyatuan umat Islam, Melayu serta bumiputera. Inilah yang diterjemahkan oleh Umno dan PAS di Cameron Highlands dengan begitu tersusun sekali.
"Ia bukan lagi kerjasama yang sembunyi-sembunyi. Kedua-dua parti politik senior Melayu ini terang-terang bergerak bersama sejak hari penamaan calon lagi," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi mengumumkan calon BN Ramli Mohd Nor menewaskan calon PH, M Manogaran, bagi kawasan Cameron Highlands dengan majoriti 3,238 undi.
Pada PRU ke-14 lalu BN memenangi kerusi terbabit dengan kelebihan hanya 597 undi.
BN juga menang di semua 12 pusat daerah mengundi.
Saipuddin berkata, ketika ini jelas masyarakat semakin menerima kerjasama Umno dan PAS kerana menyedari ia sangat perlu demi kelangsungan politik Melayu dan umat Islam yang didakwanya makin ditekan dengan pelbagai isu.
Akan diuji sekali lagi
"Pemuda Umno Kelantan sangat terharu dengan kerjasama yang diberikan oleh teman-teman seperjuangan dalam kalangan Pemuda PAS.
"Keikhlasan mereka turut serta berkempen turut menyumbang kepada kemenangan Ramli," katanya.
Tambah Saipuddin, pemuda Umno menyedari tuntutan rakyat yang mahu melihat dua parti politik itu bersatu sebagai satu blok pembangkang yang kuat, efektif dan membawa suara rakyat.
Bagaimanapun kata Saipuddin, kerjasama Umno dan PAS bakal diuji sekali dalam PKR DUN Semenyih, Selangor yang akan bermula pada 16 Februari depan.
"Ini merupakan medan ujian sebenar bagi menguji sejauh mana penerimaan rakyat teramai terhadap kerjasama blok pembangkang yang baru muncul pada 9 Mei 2018 lalu.
"Semoga kita semua terus istiqamah membawa manhaj politik baru yang lebih mesra rakyat, yang menyelami kehendak sebenar rakyat, yang mampu membangun Malaysia yang lebih stabil seperti dulu.
"Umno masih dan akan terus relevan dengan ekosistem politik nasional," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.