Khamis, 31 Januari 2019

Umno: Melayu elit tak layak terima ‘bantuan’ Bumiputera

Shahril Hamdan mahu bantuan Bumiputera disalurkan kepada
rakyat yang benar-benar memerlukan.
 
PETALING JAYA: Umno berpendapat kelompok Melayu elit tidak wajar menerima bantuan khas di bawah dasar kerajaan yang pro-Bumiputera.

Timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan berkata, golongan itu tidak berhak mendapatkan bantuan khas Bumiputera sebagaimana yang diterima Melayu kelas bawahan.

“Biarlah ia disalurkan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada golongan Melayu kaya layak menerima bantuan khas kerajaan untuk Bumiputera seperti kuota kemasukan ke universiti awam, biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajaran dan diskaun khas dalam pembelian hartanah.

Shahril berkata, kelompok itu harus keluar dari senarai penerima bantuan khas Bumiputera kerana kejayaan mereka mungkin disebabkan bantuan tersebut.

Oleh itu, katanya, mereka perlu memberi peluang kepada Melayu kelas bawahan untuk sama ratakan ekonomi dalam kalangan orang Melayu.

Sementara itu, penganalisis dari Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Faisal Hazis berkata, pemberian bantuan khas Bumiputera kepada golongan Melayu sememangnya bermasalah.

Jelasnya, hal itu berpunca dari sistem pelaksaanan dan pengagihan oleh kerajaan.

“Itulah masalahnya, kalau kita lihat DEB (Dasar Ekonomi Baru) pun, dari segi ‘on paper’, dasarnya itu cantik. Ia menyatakan kita nak strukturkan balik masyarakat. Kita bantu semua orang yang memerlukan.

“Tetapi masalah adalah dari segi implimentasinya, sebab akhirnya yang nak dibantu itu adalah golongan yang tak sepatutnya dibantu,” katanya.

Tambahnya, golongan yang dibantu itu adalah Melayu kelas atasan seperti kelompok Melayu yang menjadi “kroni” kepada pemerintah.

“Jadi kita harus bezakan dua perkara, iaitu dasar yang membantu dan masalah pelaksanaan yang harus ditelitikan,” katanya.

Melayu kaya berhak dapat bantuan

Berbeza pula pandangan yang diberikan oleh Ketua Penyelidik Ilham Centre (ILHAM), Yusri Ibrahim yang mengatakan, golongan Melayu elit berhak menerima bantuan khas Bumiputera meskipun mereka adalah golongan yang sangat berkemampuan.

Katanya, salah satu kajiannya mendapati, semakin tinggi ekonomi orang Melayu, semakin tinggi kecenderungan mereka kepada dasar kerajaan.

“Barangkali mereka nampak peluang dan dasar-dasar dalam kerajaan macam projek-projek dan tender (untuk Bumiputera),” katanya.

Yusri berkata, ia tidak bermaksud apabila seseorang itu menjadi kaya, pendapatan tinggi dan ekonomi semakin berkembang, mereka semakin bebas.

Sebaliknya golongan itu, katanya, akan lebih melihat pengharapan kepada pihak kerajaan.

“Sebab mereka tahu dan nampak, ada projek dan peluang seperti kerja dan sebagainya.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.