Selasa, 29 Januari 2019

Teliti semula pelantikan Adun DAP dalam Yadim: Isma

Oleh Fahmi bin Faiz

Apakah DAP mahu campur tangan dalam hal ehwal umat Islam?



BANGI – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didesak supaya meneliti semula pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP, Sheikh Omar Ali sebagai anggota pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, pelantikan yang disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa hari ini, telah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, rakyat pastinya tertanya-tanya apakah agenda menteri agama kerajaan PH itu melantik Sheikh Omar yang bukan sahaja ahli DAP, bahkan wakil rakyat bagi parti tamak haloba berkenaan.

“Apakah beliau akan membawa agenda DAP, di mana diketahui umum ingin menuntut kesamarataan agama? Kenapa perlu dimasukkan wakil dari parti ini ke dalam institusi Islam?

“Apakah mereka ingin campur tangan dalam hal ehwal umat Islam? Apakah tiada calon lain yang lebih sesuai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata demikian mengulas pelantikan Adun Paloh yang juga Exco Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Johor sebagai anggota pemegang amanah Yadim.

Pelantikan Sheikh Omar itu disahkan sendiri oleh Mujahid hari ini, yang menyifatkan pemilihan itu berdasarkan kelayakannya sebagai seorang yang mempunyai latar belakang agama.

Tanpa menafikan latar belakang itu, Aminuddin berkata, sudah pasti aspirasi DAP menjadi agenda utama Sheikh Omar, yang berperanan bukan sahaja sebagai ahli, malah wakil rakyatnya.

“Mana mungkin beliau boleh membelakangkan parti yang mencalonkan dan memenangkan beliau untuk menjadi seorang wakil rakyat?

“Ternyata jelas bahawa prinsip ‘politik tidak boleh campur tangan dalam isu agama’ sudah tidak menjadi pegangan pemerintah. Apa jadi dengan Islam jika dibawa pemikiran-pemikiran dan kepentingan-kepentingan politik ke dalam institusi Islam?,” katanya.

Difahamkan, Sheikh Omar dilantik ke jawatan itu untuk tempoh dua tahun dan watikah pelantikannya akan disampaikan oleh Mujahid di Putrajaya esok.

Pelantikan itu dipercayai yang pertama membabitkan pemimpin DAP ke dalam institusi agama berkaitan kerajaan Pusat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.