Ahad, 27 Januari 2019

Tanpa Pas, BN tidak peroleh majoriti besar di Cameron Highlands - Penganalisis

Rahimah Abdullah, Astro Awani
Tanpa Pas, BN tidak peroleh majoriti besar di Cameron Highlands - Penganalisis
Kerjasama Pas dikatakan antara faktor utama BN menang dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
 

KUALA LUMPUR: Kerjasama Pas adalah antara faktor utama Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, ujar Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian.

Malah katanya, tanpa kerjasama itu, mungkin persaingan merebut kerusi tradisi MIC itu sengit terutama dalam meraih sokongan pengundi Melayu.

"Lebih penting ialah sejauh mana BN telah mampu untuk kekal dengan kerjasama Pas. Saya percaya tanpa kerjasama Pas tidak mungkin kita lihat keputusan dengan majoriti yang besar, mungkin tanpanya, ia mungkin satu persaingan sengit kerana tidak tahu apakah trend perubahan kalangan pengundi Melayu.

"Selepas melihat (kehadiran) Tun Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri, apakah akan menjejaskan atau meningkatkan perubahan dari sudut peratusan yang bakal diperolehi mana-mana parti. Akhirnya kita lihat kolaborasi itu wujud, barangkali indikasi pertama adalah sebab kehadiran Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu telah memberikan impak kepada pola pengundian," katanya ketika ditemu bual dalam program Analisis AWANI, malam ini.
–– ADVERTISEMENT ––
 
BACA: BN kekalkan kerusi Cameron Highlands, Manogaran kalah lagi

Malah, apa yang lebih jelas, tumpuan sepanjang kempen PRK Cameron Highlands adalah di Jelai iaitu yang kebanyakannya pengundi Melayu.

Dr Sivamurugan juga melihat isu melibatkan kaum, etnik dan agama adalah tidak seiring dengan apa yang mahu dilihat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada masa sama, katanya krisis identiti masih wujud dalam parti yang bertanding.

"Sedangkan sebelum ini kita mencanangkan bahawa isu politik perkauman ini tidak akan berlaku. Namun dalam konteks ini ketara. Pahit untuk ditelan, tapi itulah krisis identiti yang wujud. Barangkali di luar bandar, dan bandar trendnya berbeza.

"DAP masih kekal dengan trend kawasan bandar dan tidak sesuai dengan pemikiran luar bandar. Apakah rakan komponen dalam PH masih tidak mampu atau gagal untuk mendapat sokongan pengundi Melayu?" ujarnya.

Pada Sabtu, BN berjaya mengekalkan kerusi tradisinya pada PRK Cameron Highlands apabila calonnya Ramli Md Nor menang dengan majoriti 3,238.

Ramli berjaya mendapat 12,038 undi manakala Manogaran hanya mampu meraih sebanyak 8,800 undi.

Dua calon BEBAS, Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib masing-masing mendapat 276 dan 314 undi.

Kemenangan Ramli mencipta sejarah apabila calon tunggal Orang Asli ini berjaya melangkah masuk ke Dewan Rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.