Jumaat, 25 Januari 2019

SPR tetap tempoh masa songsang di dua DUN – Isham

Manzaidi Mohd Amin

Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil mempersoalkan kenapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memendekkan masa mengundi di kawasan yang dikatakan mempunyai ramai penyokong Barisan Nasional (BN) di Cameron Highlands.

Beliau berkata, pada masa sama suruhanjaya itu memanjangkan masa mengundi di kawasan yang dipercayai mempunyai ramai penyokong Pakatan Harapan (PH).

Katanya, keputusan itu secara tidak langsung menunjukkan SPR telah memberikan kelebihan tidak sepatutnya kepada PH dan kekangan tidak wajar kepada BN dengan mewujudkan keadaan tidak adil dan pilih kasih.

“Semalam SPR telah mengeluarkan senarai tempoh mengundi di daerah mengundi di DUN Jelai dan DUN Tanah Rata untuk PRK Parlimen Cameron Highlands.

“Minggu lepas saya telah membuat saranan kepada SPR yang disampaikan melalui jentera BN di Cameron Highlands supaya tempoh mengundi di beberapa daerah mengundi di DUN Jelai dipanjangkan.

“Ini kerana jarak yang jauh antara peti undi dan penempatan pengundi terutama di perkampungan Orang Asli dan gugusan FELDA di DUN Jelai berbanding di DUN Tanah Rata,” katanya dalam status yang dimuatnaik menerusi akaun Facebook beliau.

Menurut Isham, DUN Jelai mempunyai keluasan 480 kilometer persegi atau empat kali ganda lebih luas berbanding DUN Tanah Rata yang berkeluasan kira-kira 120 kilometer persegi.

Katanya, walaupun jumlah pengundi di DUN Tanah Rata lebih ramai iaitu 19,586 orang berbanding DUN Jelai seramai 12,520 pengundi, jumlah daerah peti undi dan saluran di DUN Tanah Rata lebih banyak iaitu 16 berbanding DUN Jelai 12 daerah peti undi.

Oleh itu, kata Isham, dari segi kiraan Matematik, kedua-dua DUN itu mempunyai kepadatan peti undi dan saluran mengundi yang lebih kurang sama dengan purata kira-kira 1,000 pengundi di setiap daerah peti undi.

“Namun, dari segi geografi dan praktikal, DUN Jelai mempunyai sebaran pengundi lebih meluas iaitu enam kali ganda lebih besar berbanding DUN Tanah Rata dengan sebaran pengundi lebih kecil, iaitu 1.5 ekar setiap pengundi.

“Jarak daripada satu peti undi ke peti undi juga lebih jauh di DUN Jelai berbanding DUN Tanah Rata.

Ini bermakna, pengundi di DUN Jelai perlu bergerak lebih jauh ke peti undi (secara purata enam kali ganda lebih jauh) untuk membuang undi berbanding di DUN Tanah Rata. Ini mengambil lebih banyak masa di DUN Jelai berbanding di DUN Tanah Rata.

“Seperti saya nyatakan sebelum ini, di setengah kawasan Orang Asli dalam DUN Jelai seperti Pos Senderut, sebahagian besar pengundi perlu bergerak sejauh 20 hingga 40 kilometer untuk membuang undi,” katanya.

Sebab itu katanya, beliau menyarankan kepada SPR supaya tempoh mengundi di beberapa peti undi di DUN Jelai seperti Pos Senderut dan Pos Betau dilanjutkan kepada sekurang-kurangnya sehingga jam 4, bukan ditutup awal pada jam 2 petang dan 3.30 petang.

“Pemimpin masyarakat setempat termasuk Tok Batin di sini juga bersetuju dengan saya berkenaan hal ini.

“Oleh sebab itu, sepatutnya tempoh masa mengundi adalah lebih panjang di DUN Jelai dan lebih pendek di DUN Tanah Rata, bukan sebaliknya.

“Namun, nampaknya SPR tidak mengendahkan saranan saya, jentera BN dan pengundi setempat,” katanya.

Sebaliknya, kata Isham, SPR telah menetapkan tempoh mengundi yang pendek di kebanyakan peti undi di DUN Jelai iaitu sehingga jam 2 petang ke 3.30 petang sahaja berbanding tempoh masa lebih panjang di DUN Tanah Rata iaitu sehingga jam 5.30 petang.

Oleh itu, keputusan yang ditetapkan SPR berkenaan tempoh masa mengundi di kedua-dua DUN di Cameron Highlands itu adalah songsang. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.