Ahad, 27 Januari 2019

Rakyat tolak budaya politik melampau DAP – Abdul Hadi

Manzaidi Mohd Amin

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang


KUALA LUMPUR – Kekalahan calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands malam tadi, menjadi isyarat penolakan rakyat terhadap kegagalan Pakatan Harapan dalam menunaikan janji mereka.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kekalahan itu juga menjadi petanda rakyat menolak budaya politik melampau yang dibawa oleh komponen PH, iaitu DAP.

“Syukur kepada Allah dengan hidayah-Nya yang memberi petunjuk kepada pengundi untuk memilih calon beragama Islam bagi mewakili rakyat dan masyarakat majmuk di Parlimen Cameron Highlands.

“Pas mengucapkan tahniah di atas kemenangan Ramli Mohd Noor dengan majoriti yang lebih besar dalam PRK semalam, dan melihat keputusan ini sebagai perkembangan positif ke arah kerjasama blok pembangkang yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Dalam PRK semalam, Ramli menang dengan majoriti 3,238 undi setelah mendapat 12,038 undi, mengalahkan calon DAP, M Manogaran yang menperoleh 8,800 undi.

Dua calon bebas, Sallehuddin Ab Talib yang memakai simbol buku mendapat 314 undi, manakala Wong Seng Yee yang menggunakan simbol cangkul hanya meraih 276 undi.

Abdul Hadi turut mengucapkan penghargaan kepada ahli dan jentera Pas dari seluruh negeri dan negara yang turut membantu dalam kempen PRK Cameron Highlands itu.

“Kepada Ramli, semoga beliau dapat membawa suara pembela agama, bangsa dan negara dengan sebaiknya di Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.