TANAH RATA: Bekas menteri besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mendakwa bahawa penyata kewangan kerajaan negeri itu telah dipinda oleh pihak tertentu kerana jumlah sebenar hutang tidak sebesar yang diuar-uarkan.
Adnan berkata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat cuba mempolitikkan isu hutang negeri Pahang yang dikatakan mencecah RM3.178 bilion sedangkan jumlah sebenar hutang negeri tersebut hanyalah RM760 juta.
“Mengenai hutang Pahang seperti yang dijawab oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, itulah keadaan sebenarnya.
"Macam mana kita tidak berhutang banyak, pertama projek bekalan air di mana panjang paip di Pahang adalah sejauh 12,000 kilometer.
“Selain itu, penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Pahang merupakan projek kerajaan persekutuan yang mana semua negeri (perbelanjaan) ditanggung oleh mereka. Pahang juga membelanjakan RM40 juta untuk kerja-kerja bantuan banjir dan bencana itu sebenarnya adalah di bawah urusan kerajaan Persekutuan," kata Adnan ketika ditemui selepas menghadiri majlis minum petang bersama veteran-veteran komando, tentera, Angkatan Tentera Orang Asli dan balu di Dewan Masyatakat Orang Asli Sungai Ruil di Tanah Rata pada Jumaat.
Kata beliau, sekiranya tiga perkara itu ditolak, hutang sebenar kerajaan negeri tidaklah sebesar itu namun Guan Eng menggunakan isu tersebut untuk tujuan politik.
"Ini perlu ditolak, ia di atas kertas sahaja di mana atas kertas yang telah dipinda oleh orang tertentu. Sebenarnya hutang Pahang bukan sebanyak itu dan saya harap perkara ini jelas," tambahnya.
Sementara itu, beliau berkata jika Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersara kelak, parti gabungan Pakatan Harapan (PH) akan berada dalam keadaan kucar-kacir.
“Bagi saya, Tun Mahathir ialah pemimpin yang paling saya hormati. Beliau lah satu-satunya pemimpin yang menjayakan Pakatan Harapan.
“Sekiranya Tun Mahathir bersara, PH akan berada dalam keadaan yang kucar-kacir,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.