Isnin, 28 Januari 2019

Majlis tari menari tradisi peguam – Hanipa

Shawaliah Hadir
Hanipa Maidin
Hanipa Maidin


KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mempertahankan majlis jamuan dan tari menari yang sifatkan sebahagian daripada tradisi guaman.

Mohamed Hanipa Maidin berkata, para peguam amat kaya dengan pelbagai tradisi yang mungkin kelihatan agak unik dan hanya ada dalam profesion itu sahaja, walaupun kelihatan ‘sedikit kebaratan’.

“Program makan malam dan tari menari yang dipanaskan tak tentu fasal itu hakikatnya sebahagian tradisi (bidang guaman),” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang juga merupakan peguam menerusi kenyataan.

Menurutnya, ianya merupakan jamuan yang diadakan selepas peguam pelatih menamatkan tempoh amali (chambering).

“Kami akan buat kunjungan ke kamar hakim. Selepas diterima sebagai peguam, kami biasanya akan adakan jamuan yang melibatkan para peguam dan pihak kehakiman. Ia sudah jadi tradisi. Semasa chambering peguam pelatih digalakkan membuat kunjungan hormat kepada peguam senior.

“Di mahkamah, kami akan memanggil rakan peguam sebagai ‘rakan yang bijaksana’ meskipun kami berlawan sakan.

“Bila peguam bangun berhujah, peguam lawan tidak boleh bangun pada masa sama – ia dianggap amat biadab. Kena duduk dan hormat. Ia dipanggil dekorum kehakiman. Ia juga sebahagian daripada tradisi kami yang kaya,”tambahnya.

Namun begitu, Hanipa mengakui majlis tersebut kelihatan kebaratan dan disifatkan segelintir pihak sebagai tidak patuh Syariah.

“Ya saya akui kadang kala ia kelihatan ‘sangat Inggeris’. Ia mungkin kelihatan sedikit kebaratan dan dilihat oleh ‘pihak-pihak suci’ tidak patuh Syariah,” ujarnya.

Beliau mengulas video yang memaparkan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong serta peguam kontroversi, Siti Kassim menari bersama sempena Opening of The Legal Year 2019 yang tersebar semalam.

Video itu mendapat perhatian dan komen dalam kalangan netizen yang tidak senang dengan apa yang dilihat.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan perkara itu sebagai memalukan dalam institusi kehakiman.

Jelasnya, institusi kehakiman dan perundangan sejak dulu sangat sensitif dengan pergaulan sosial kerana ia melibatkan keyakinan masyarakat terhadap mereka.

Video itu turut dikritik beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH), antaranya Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi turut membangkitkan semula kritikan yang pernah dibuat terhadap bekas Peguam Negara Apandi Ali dahulu  kerana menari bersama pemimpin Barisan Nasional (BN).

Manakala peguam Haniff Khatri Abdulla pula menyifatkan video yang tular itu menunjukkan tingkahlaku, pergaulan mesra dan keakraban Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang boleh menimbulkan persepsi. -MalaysiaGazette


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.