BANGI – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai untuk menghentikan penggunaan tujuh produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu hydroquinone dan tretinoin, hydroquinone serta merkuri.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor
Hisham Abdullah berkata, produk Tati Ultra Night Cream, Deeja Wrinkle
Cream, Robisis-Anti-Acne Whitening Day & Night Cream, Asdanne
Whitening Freckle Day Cream dan Fulenze-Whitening Freckle Day Cream
dikesan mengandungi merkuri.
Manakala produk Tati Ultra Treatment dan
Deeja Dream Cream pula dikesan mempunyai kandungan hydroquinone dan
tretinoin serta hydroquinone.
Beliau berkata, notifikasi produk-produk
kosmetik terbabit telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan
Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual berkenaan.
“Penjual dan pengedar produk-produk
kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran
produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
“Penjual adalah diingatkan bahawa
penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar
Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam satu
kenyataan.
Beliau turut mengingatkan orang awam yang
sedang menggunakan produk terbabit supaya segera menghentikan
penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional
kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
“Sebarang pertanyaan berkaitan produk
kosmetik boleh diemel kepada kosmetik@npra.gov.my. Pengguna dan orang
ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu
produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA
https://www.npra.gov.my ,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.