Sudah lama saya ingin menulis mengenai perkara ini. Kita kini sudah berada dalam tahun 2019, namun mutu pengurusan sebuah jabatan yang penting di negara ini masih berada di takuk lama, ketinggalan dan terkebelakang.
Dalam sebuah “negara polis” seperti Malaysia (semua perkara yang berlaku melibatkan pasukan polis) tadbir urus, kecekapan pengurusan dan piawaian standard pasukan ini masih di takuk lama dan memalukan.
Jika pembaca mengunjungi pusat latihan polis di seluruh negara, termasuk Maktab Polis Cheras, kita akan berasa hairan dan malu betapa ketinggalannya pengurusan pusat latihan ini yang bukan sahaja daif, tetapi tidak diuruskan dengan baik serta tidak selesa.
Memang benar sesebuah pusat latihan tidaklah perlu semewah hotel atau pusat peranginan, namun bagi menyediakan seorang individu awam kepada seorang anggota polis yang berintegriti tinggi, berkarisma dan sedia berkorban untuk negaranya, isu paling asas seperti pusat latihan wajar diberikan perhatian serius.
Setelah tamat kursus asas polis, anggota dan pegawai polis akan mula melaporkan diri di Kontigen Polis yang diarahkan dan mula menjalankan tugas di balai polis ataupun di IPD. Bagi yang bernasib baik, mereka akan diletakkan di balai baru yang bersih dan nyaman.
Bagi yang kurang bernasib baik, mereka terpaksa menjalankan tugas dalam suasana daif sehinggakan alat tulis seperti kertas A4 dan pen pun tidak disediakan.
Tidak cukup dengan itu, berek polis yang katanya telah diubahsuai dan dinaiktaraf hanya indah khabar daripada rupa. Dari luar memang nampak indah dengan cat biru-putih yang bersih.
Namun jika ditinjau ke dalam, ia sangat mendukacitakan, kotor dan tidak diselenggara. Di sinilah nanti anggota polis akan membesarkan anak-anak dan menjalani kehidupan berkeluarga mereka.
Apabila anggota polis yang mempunyai masalah keluarga (berjauhan suami/isteri, imenjaga ibu bapa yang sakit atau sebagainya) dan ingin memohon untuk berpindah ke Kontigen tempat kelahiran, akan dilayan dengan buruk dan sangat mendukacitakan.
Bagi yang mempunyai “kenalan” di Bukit Aman, laluan mereka akan lebih mudah. Namun bagi anggota polis berpangkat rendah yang naif, mereka terpaksa bertebal muka memohon temu janji demi temu janji yang tidak berkesudahan dengan cawangan perjawatan di Bukit Aman.
Tambah-tambah lagi, baru-baru ini Ketua Penolong Pengarah (KPP) perjawatan Bukit Aman, SAC Datuk Kasuahdi Ali mengeluarkan arahan supaya tidak diluluskan pertukaran anggota yang mahu bertukar ke Kontigen kelahiran.
Walau apa pun alasan cawangan perjawatan, sebagai manusia semua orang wajib didengari masalahnya.
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman selalu mengadakan lawatan dan semakan ke atas balai polis dan IPD di seluruh negara.
Rata-rata pegawai JIPS ini seakan-akan syok sendiri dengan laporan yang dikeluarkan hingga hampir tiada tindakan yang diambil apabila lawatan tersebut tamat.
Jadi untuk apa JIPS ini datang? Adakah SOP telah ditambah baik? Adakah keseronokan bekerja anggota meningkat? Atau adakah layanan kepada pelanggan (rakyat) semakin baik?
Tulisan ini mungkinlah hanya mewakili sekelumit daripada dilema yang terpaksa ditelan oleh anggota dan pegawai polis. Apabila mereka mengadu nasib kepada pihak atasan, soalan yang sama ditanya: “kenapa dulu nak jadi polis?,”
Tentunya pegawai atasan yang selesa dengan gaji atau habuan lain yang diterima sukar memahami keluh kesah anggota atau pegawai bawahan.
Saya berharap Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang bakal ditubuhkan akan melihat isu pengurusan pasukan polis sebagai satu keutamaan bagi mereformasi pasukan ini agar selari dengan zaman.
Penulis adalah pembaca FMT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.