Warga Mongolia yang ditemukan mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu mahu berjumpa dengan bekas kekasihnya Abdul Razak Baginda di Malaysia berhubung isu kesihatan anaknya, kata bapanya.
Mengulas pertemuan terakhir mereka bersama, Shaariibuu Setev berkata beliau menyoal anak perempuannya mengapa dia sering ke Malaysia, dan adakah ini berkaitan dengan seseorang.
"Dia beritahu saya dia ada hubungan dengan seorang lelaki 'besar' di Malaysia dan namanya (Razak) Baginda.
"Katanya, kunjungan itu penting kerana mahu mendapatkan rawatan untuk anaknya,” kata Shaariibuu kepada Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini.
Anak bongsu Altantuya, Altanshagai Munkhtulga, dilahirkan dengan masalah sistem saraf atau disebut cerebral palsy dan lumpuhkan sejak usia muda.
Dia meninggal dunia pada usia 15 tahun pada 2017.
Bagaimanapun, Burmaa pada keterangannya kepada mahkamah Rabu lalu mendakwa Altantuya ke Malaysia pada Oktober 2006 untuk menuntut bayaran daripada Razak Baginda untuk kerja terjemahan yang belum dibayar.
Tiket penerbangan
Sementara itu, dalam keterangannya, Shaariibuu berkata selepas Altantuya ke Malaysia, dia menjumpai beberapa barang yang diberikan oleh Razak Baginda kepada anaknya itu.
Ini termasuk tiket penerbangan bertarikh 23 Mac 2005 dan resit 4 Mac 2005 untuk barangan kemas bernilai RM11,300 yang dibeli daripada seorang tukang emas terkenal di Malaysia.
Dia juga menemui surat pengakuan bertarikh 2 Mac 2006 yang ditandatangani oleh Altantuya memaklumkan sudah menerima AS$18,000 daripada Razak Baginda.
Komando polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didapati bersalah atas pembunuhan Altantuya oleh Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 dan dijatuhi hukuman mati.
Razak Baginda, yang menjadi orang kanan kepada bekas timbalan perdana menteri, ketika itu, Najib Razak, dituduh bersubahat dengan dua bekas anggota polis khas dalam pembunuhannya. Walau bagaimanapun, dia akhirnya dibebaskan.
Perbicaraan bersambung pada Isnin depan dengan Shaariibuu terus memberi keterangannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.