KUALA LUMPUR: Tujuh individu hari ini memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makan bermula esok.
Tujuh pemohon itu memfailkan permohonan mereka secara ex-parte (sebelah pihak) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui pemfailan e-filing, menerusi Tetuan Haniff Khatri.
Mereka adalah Mohd Hanizam Yunus, 52, Zulkifli Mohamad, 56, Mohd Laisani Dollah, 46, Mohd Sufian Awaludin, 35, Ridzuan Muhammad Noor, 52, Mohd Yazid Mohd Yunus, 48, dan Yuri Azhar Abdollah, 39.
Dalam permohonan itu, semua pemohon yang bertindak mewakili diri dan perokok yang menyokong usaha “Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok” menamakan Kementerian Kesihatan selaku responden.
Dalam permohonan itu, pemohon menyatakan larangan merokok itu bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan aktiviti jenayah, oleh itu ia sah dari segi undang-undang yang dijamin Perlembagaan.
Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makan.
Katanya, rakyat Malaysia yang merokok secara konstruktifnya diketepikan dan didiskriminasi daripada mengunjungi serta menikmati kemudahan di premis makan kerana ada larangan merokok, ia bertentangan peruntukan dan prinsip undang-undang serta salah prosedur kerana responden tidak pernah berjumpa perokok atau pihak berkepentingan bagi membincangkan penguatkuasaan larangan itu.
Selain itu, kata mereka, kerajaan juga tidak memperuntukkan kemudahan kawasan merokok yang terasing atau memberi peruntukan untuk pengusaha premis makan melaksanakan budi bicara masing-masing untuk mewujudkan kawasan merokok berasingan.
Oleh itu, mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan kementerian dan memohon perisytiharan keputusan penguatkuasaan itu bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Mereka juga memohon perintah larangan bagi menghalang responden sama ada melalui dirinya atau ejen atau wakil daripada menguatkuasakan larangan berkenaan.
Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan merokok di semua restoran dan premis makan berkuat kuasa esok, melibatkan semua premis makanan seperti restoran tertutup, berhawa dingin dan warung konsep terbuka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.