Sebuah NGO yang baru didaftarkan yang dinamakan Pertahankan Hak Perokok memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar larangan merokok di premis makanan seluruh negara yang berkuatkuasa esok.
Tujuh anggota pro-tem Pertahankan Hak Perokok - Mohd Hanizam Yunus, Mohd Laisani Abdullah dan lima lagi - menamakan Kementerian Kesihatan sebagai responden.
Semakan kehakiman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Tetuan Haniff Khatri hari ini.
Mereka memohon mahkamah membatalkan larangan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan tersebut.
Mereka juga mahu mahkamah mengisytiharkan larangan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, serta perintah larangan terhadap Kementerian Kesihatan untuk menguatkuasakannya.
Selain itu, mereka juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah penggantungan terhadap penguatkuasaan larangan itu sehingga semakan kehakiman mereka didengar dan diputuskan oleh mahkamah.
Pertahankan Hak Perokok menyatakan asas bagi permohonan mereka antaranya adalah ia bertentangan dengan Perlembagaan memandangkan merokok bukan jenayah, dan mempunyai hak sama rata dengan golongan yang tidak merokok.
"Rakyat Malaysia yang merokok akan secara konstruktifnya diketepikan dan/atau didiskriminasikan daripada berkunjung dan/atau menikmati kemudahan premis makan dan menghabiskan masa mereka di sana kerana larangan tersebut," menurut permohonan itu.
Mereka juga mendakwa larangan itu tidak munasabah dan tidak adil kerana kerajaan sendiri tidak mengharamkan kegiatan itu dan mengutip cukai yang tinggi hasil jualan rokok.
Selain itu, mereka juga berkata kerajaan tidak memperuntukkan alternatif lain seperti kebenaran terhadap pengusaha premis makanan menggunakan budi bicara untuk menyediakan kawasan khas merokok di premis mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.