Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah mempertahankan
pendiriannya bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) bernasib baik jika
mampu bertahan selama sepenggal.
"Saya jangka mereka ini jadi kerajaan satu penggal sebab kita tengok mereka banyak masalah dalaman. PKR ada dua kem, Bersatu ada masalah dalaman sendiri, dalam PH pun ada masalah.
"Orang ni kata begini, parti ini kata begini. Hingga terpaksa Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim keluarkan kenyataan untuk redakan keadaan.
"Umno sekurang-kurang 60 tahun baru orang benci, tetapi PH hanya enam bulan orang dah cakap macam-macam," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang mengatakan PAS akan menjadi pembangkang selama-lamanya.
Terdahulu, ketika pemimpin PH dilihat saling mengkritik sesama sendiri secara terbuka, ketua umumnya, Anwar Ibrahim tampil menggesa perbalahan dihentikan.
"Pemimpin-pemimpin perlu meredakan suasana dan mengelak dari kenyataan-kenyataan negatif.
"Perbalahan terbuka sama ada di antara atau di dalam parti perlu dihentikan segera.
"Pada masa yang sama, saya gesa agar muafakat PH perkukuh melalui saluran parti," katanya dalam kenyataan media malam tadi.
'PAS jauh lebih baik dari Bersatu'
"Kalau dibandingkan PAS dengan Bersatu, PAS jauh lebih baik. PAS secara bersendirian boleh menang 18 kerusi, Bersatu yang berpakat dengan PH hanya menang 11 kerusi.
"Kalau dia tak berpakat dengan PH sampai bila-bila pun tak akan jadi kerajaan. Kita tak berpakat pun boleh kuasai dua negeri dan kerusi parlimen kita lagi banyak.
"Jadi saya kata lebih baik kita jadi pembangkang daripada jadi kerajaan yang janji tidak ditunaikan," jelasnya selepas merasmikan Majlis Letak Kerja dan Pelancaran Logo Pusat Belia Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.