Vivi Sumanti, Astro Awani
KOTA BHARU: Lebih baik jadi pembangkang selamanya dari menjadi sebuah kerajaan tapi tidak melaksanakan janji yang di buat sebelum pilihan raya, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Mengulas mengenai kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, Naib Presiden Pas itu meramalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan tumbang lima tahun lagi.
Mohd Amar berkata walaupun menjadi pembangkang, negeri Kelantan berjaya dipertahankan selama 30 tahun manakala Terengganu sudah menjadi milik Pas selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
BACA: Pas akan jadi pembangkang selama-lamanya - Muhyiddin
Jelas Mohd Amar, ramalan beliau bahawa kerajaan PH hanya boleh bertahan sepenggal disebabkan sepanjang pentadbiran mereka selama enam bulan ini, sudah ada rakyat yang merungut di samping masalah dalaman parti yang dilihat cabaran besar bagi PH.
"Saya jangka satu penggal sebab banyak berlaku masalah dalaman. Satu penggal itu sudah kira ramalan yang baik. Kerajaan PH dalam enam bulan orang sudah cakap macam-macam, tetapi UMNO 60 tahun perintah baru jatuh. Kerajaan PH tidak tunai janji, harga minyak kata nak turun, tapi tak turun pun," katanya.
Sebelum ini, Mohd Amar membuat ramalan kerajaan PH, di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, hanya akan bertahan lima tahun di Putrajaya ekoran kurang persefahaman dalam kalangan parti komponen.
Muhyiddin membalas, kenyataan Mohd Amar itu berbaur cemburu dan iri hati dengan kejayaan PH, dan berkata Pas akan jadi pembangkang selama-lamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.