THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Pelantikan bekas Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli sebagai Naib Presiden PKR merupakan hak istimewa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memilih.
Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Rafizi juga menerima banyak undi pada proses pemilihan PKR 2018 baru-baru ini.
“Itu adalah prerogatif presiden (parti) untuk memilih sesiapa dan Rafizi juga dalam pertandingan (pemilihan PKR) mendapat undi yang banyak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Karnival Aspek Wanita Pandan dan Program Back To School di Dewan Jalan H. Kampung Pandan Dalam, di sini hari ini.
Selain Rafizi, Anggota Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang dan Anggota Parlimen Saratok Ali Biju turut diumumkan sebagai Naib Presiden PKR.
Pengumuman itu dibuat semalam oleh Anwar dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Ketiga-tiga lantikan baharu tersebut akan menyertai tiga lagi naib presiden parti yang dipilih pada Pemilihan PKR 2018 baru-baru ini, iaitu Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, dan Tian Chua.
Pada proses pemilihan PKR lepas, Rafizi tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merebut jawatan Timbalan Presiden.—Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.