KUALA LUMPUR: Proses reformasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan sukar memandangkan kelemahan sedia ada sudah jelas dilihat dan diketahui, kata Pengerusi Azhar Azizan Harun.
Beliau berkata SPR sudah dapat mengenal pasti setiap kelemahannya dalam pilihan raya sebelum ini dan perubahan terhadap sistem yang lebih baik dijamin akan dapat dilakukan sebelum pilihan raya umum akan datang.
“Kita tahu kelemahan kita sebelum ini dan kita tahu apa yang perlu dibuat. Kelemahan selama ini banyak sekali, persepsi yang tidak baik itu banyak sekali,” katanya pada pemberita selepas menghadiri hari terakhir persidangan meja bulat reformasi pilihan raya hari ini.
Azhar berkata proses reformasi SPR tidak akan mengambil masa yang panjang, dan terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan segera kerana ia bawah bidang kuasanya.
“Saya telah kategorikan reformasi kepada 4 kategori. Pertama, reformasi tersebut boleh buat sekarang tanpa perubahan kepada apa-apa undang-undang atau peraturan. Jadi kita akan buat itu dulu.
“Kedua, reformasi yang memerlukan pindaan peraturan. Dalam undang-undang, saya boleh pinda peraturan jadi itu juga tidak menjadi masalah. Contohnya hari penamaan calon dan keperluan pas masuk.
“Ketiga, reformasi yang perlu pindaan undang-undang. Yang itu kena pergi ke Parlimen tapi cuma perlu majoriti mudah. Tapi itu pun perlu masa untuk gubal undang-undang baharu atau pinda rang undang-undang untuk pindaan undang-undang sedia ada.
“Reformasi keempat yang paling susah, iaitu perlu pinda perlembagaan. Itu perlu majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dan akan ambil masa lama,” katanya.
Sementara itu, Azhar dalam persidangan meja bulat berkata, SPR berharap ia mampu untuk mengumumkan keputusan pilihan raya lebih pantas berbanding media internet.
Beliau berkata pengumuman keputusan pilihahn raya oleh media internet berdasarkan Borang 14 yang belum disahkan.
“Antara inisiatif yang kita fikirkan ialah apabila ada Borang 14 yang belum disahkan, kita akan siarkan data tersebut. Tapi itu bukan keputusan, cuma data dari Borang 14 yang belum muktamad.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.