Astro Awani
GEORGE TOWN: Pelaburan langsung asing (FDI) negara meningkat kepada RM49 bilion iaitu peningkatan sebanyak hampir empat kali ganda bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
Menyifatkan peningkatan itu berada pada prestasi amat baik, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata ia sekali gus membuktikan ekonomi negara berada di landasan yang betul dan menunjukkan bahawa kerajaan bersungguh-sungguh mahu membebaskan negara daripada genggaman dan belenggu kleptokrasi.
"Kalau tahun lepas kira-kira 14 bilion, tapi tahun ini adalah 49 bilion, iaitu hampir empat kali ganda. Kalau kita lihat jumlah pelaburan dari luar negera, yang datang ke Malaysia untuk sembilan bulan pertama adalah amat memberangsangkan," kata Guan Eng.
Menurutnya, peningkatan memberangsangkan itu menunjukkan keyakinan dalam kalangan negara luar terhadap Malaysia di bawah kepimpinan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semakin meningkat.
"Itu satu tanda yang amat baik yang menunjukkan keyakinan luar negeri bertambah di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersungguh-sungguh mahu membersihkan nama Malaysia, mahu kembalikan Malaysia ke jalan yang betul, mahu beritahu dunia bahawa Malaysia sekarang mahu bebaskan diri daripada genggaman dan belenggu kleptokrasi dunia dan kini menjadi sebuah negara demokrasi yang sihat dan normal."
Guan Eng berkata demikian selepas merasmikan program Smart Green Community di tapak pertanian dalam bandar, di sini, pada Sabtu.
Tambah beliau, sungguhpun ekonomi negara dalam keadaan tenat, namun kerajaan akan terus berusaha bagi memastikan ekonomi negara berada di tahap memberangsangkan.
"Saya yakin dan lihat beberapa unjuran yang baharu. Tadi saya sebut dari sudut FDI kita naik, malah dalam laporan Bloomberg yang terbaharu, ekonomi antarabangsa di semua negara membangun... Malaysia nombor satu. Dan itu adalah satu prestasi yang baik.
"Sungguhpun kerajaan baru enam bulan, tapi masih boleh dapat tempat pertama. Tapi itu hanya permulaan. Kita masih jauh lagi untuk pulihkan ekonomi, tapi sekurang-kurangnya kita ada di landasan yang betul, kata Guan Eng.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk membawa negara ini kembali ke pangkal jalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.