Sabtu, 29 Disember 2018

'Budaya angkat keris, usung keranda, rasis hanya takutkan masyarakat'

 
   

AGM BERSATU | Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan parti itu tidak boleh menjadi "sebuah lagi Umno", apatah lagi mengamalkan politik perkauman untuk menang pilihan raya.

Berucap di hadapan perwakilan pemuda dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Putrajaya, beliau berkata Bersatu adalah parti yang berpegang kepada prinsip, nilai dan tanggungjawab.

“Mungkin kita boleh 'mengangkat keris' dan mengaku kitalah pejuang Melayu Islam, tambah undi kerana menyebarkan politik rasis dan perkauman, usung keranda bangsa lain hanya untuk menambah rasa takut dan prejudis dan akhirnya “menang” dalam pilihanraya.

“Boleh, kita boleh buat. Cara Umno boleh kita amal. Tetapi, itu bukan kita. Kita adalah Bersatu, bukan Umno. Biar mereka buat kerja-kerja kotor dalam politik.

“Kita lebih tinggi dari itu. Moral dan nilai yang kita bawa tidak boleh direndah-rendah dan dipijak-pijak hanya kerana mahu menang pilihanraya,” katanya.

Aksi mengangkat keris paling diingati dibuat oleh Hishammuddin Hussein pad 2005 ketika menjadi ketua pemuda Umno. Ia dilakukan di perhimpunan agung Umno ketika beliau berikrar mempertahankan kepentingan Melayu.

Tiga tahun kemudian, Hishammuddin meminta maaf dan mengakui tindakannya menghunus keris telah menyebabkan BN hilang sokongan di kalangan pengundi bukan Melayu pada pilihan raya umum 2008.

Bukan Umno 2.0

Menegaskan perbezaan antara Bersatu dan Umno, Syed Saddiq berkata partinya tidak akan membuat apa yang disifatnya sebagai kerja kotor untuk meraih undi.

"Saat kita terima dan angkat cara Umno, walaupun secara diam, maka kita sudah gagal."

Justeru, beliau berkata pihaknya akan mendesak syarat yang ketat dikenakan untuk bekas pemimpin Umno yang mahu menyertai parti itu.

Antaranya, katanya lagi, dengan menyemak dakwaan salah laku, mengisytiharkan harta dan memohon maaf kepada rakyat.

“Buat apa kita terima bekas-bekas Umno jika mereka ini melompat masuk semata-mata harta dan nama. Bersatu bukan parti harta dan nama. Bersatu adalah parti bangsa dan tanah air,” katanya lagi.

Katanya lagi, jika Bersatu mahu menjadi Umno maka “langkah Armada dulu”.

“Saya tak akan benarkan budaya Umno meresap masuk ke dalam Bersatu. Armada juga ingin mengusulkan untuk kita lebih progresif daripada Umno.

“Umno adalah Umno, Bersatu selamanya Bersatu,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.