Jumaat, 28 Disember 2018

Bibi Ramjani enggan ulangi kesilapan lantik jurulatih kemudi TRW

 
   

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak mahu mengulangi kesilapan lalu dalam melantik jurulatih untuk mengemudi skuad The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Premier musim depan.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan berkata KAFA akan meneliti sebaik mungkin kriteria jurulatih yang akan membimbing Kelantan dalam usaha untuk kembali ke saingan Liga Super pada musim 2020.

“Kita akan lihat rekod, lesen dan sebagainya yang berkaitan dengan aspek kejurulatihan sebelum melantik mana-mana jurulatih bagi mengelak kesilapan sama berulang,” katanya.

Akhbar hari ini melaporkan tindakan KAFA yang masih belum melantik ketua jurulatih Kelantan boleh mengundang 'malapetaka' kepada TRW untuk saingan musim depan memandangkan persiapan hanya berbaki sebulan sebelum sepak mula pada 1 Feb depan.

Untuk rekod, pada musim ini KAFA melantik Sathit Bensoh dari Thailand dan Fajer Ibrahim dari Syria sebagi Ketua Jurulatih TRW namun kedua-dua pengendali bertaraf antarabangsa tersebut gagal mencipta sebarang kejayaan kepada Kelantan.

Bibi Ramjani berkata buat masa ini TRW akan dikemudi oleh Pengarah Teknikal TRW Jorg Peter Steinebrunner dan pembantu jurulatih Kamarudiin Muhammad.

"Kita akan mengadakan satu perlawanan persahabatan dengan Terengganu pada 5 Feb di Stadium Sultan Muhammad ke-IV dan dari situ, kita boleh menilai kemampuan pasukan secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Bibi Ramjani berkata terdapat lima kekosongan pemain termasuk seorang pemain import yang perlu didaftar pada 20 Jan depan.

Beliau berkata Kelantan juga masih belum mempunyai penaja utama dan berharap agar ada pihak yang berbesar hati untuk tampil membantu berbuat demikian.-- Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.