Khamis, 27 Disember 2018

Armada enggan biarkan Bersatu terus dituduh UMNO 2.0

Shafizan Johari, Astro Awani
Armada enggan biarkan Bersatu terus dituduh UMNO 2.0
Cadangan bagi membantu kepimpinan parti membetulkan tanggapan umum yang mengaitkan Bersatu sebagai UMNO 2.0.
 

KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) bakal membentangkan cadangan penyelesaian terhadap isu bekas pemimpin UMNO yang melompat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Armada hujung minggu ini.

Exco Mahasiswa dan Pengajian Tinggi Armada Hannan Khairy berkata, ia bagi membantu kepimpinan parti membetulkan tanggapan umum yang mengaitkan Bersatu sebagai destinasi bagi bekas-bekas pemimpin UMNO melompat parti.

"Bagi memastikan Bersatu tidak menjadi 'UMNO 2.0' maka Armada hadir dengan beberapa penyelesaian isu ini pada perhimpunan agung tahunan kelak," kata Hannan kepada Astro AWANI menjelang Perhimpunan Agung Tahunan pada hujung minggu ini.

–– ADVERTISEMENT ––
"Ramai kalangan kita faham kenapa kita perlukan sokongan daripada mereka (bekas pemimpin UMNO) tetapi Armada berpendapat perkara ini harus dilihat dengan lebih teliti dan mendalam," jelasnya.

Armada yang merupakan sayap Pemuda Bersatu bakal mengadakan perhimpunan agung tahunan pada esok dan Sabtu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dengan kehadiran kira-kira 800 perwakilan.

 Perhimpunan itu adalah bersempena dengan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang turut diadakan di lokasi yang sama.

Sebelum ini Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan permohonan mana-mana bekas pemimpin UMNO akan diteliti dan tingkah laku mereka diperhatikan untuk memastikan sama ada mereka layak menyertai parti itu.

Hannan berkata, Armada akan membangkitkan dua isu lain yang bakal diketengahkan pihaknya pada perhimpunan berkenaan.

Ia melibatkan sistem '1 ahli 1 undi' yang bakal dicadangkan pada pemilihan parti demi mengurangkan politik wang dan penubuhan Srikandi Muda untuk wanita berusia 35 tahun untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti pemerintah itu.

PAT Bersatu itu dijangka dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan melibatkan 135 bahagian di seluruh negara termasuk wakil Armada daripada 115 bahagian dan wakil Srikandi daripada 98 bahagian.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.