THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyoal sama ada Bajet 2019 Pakatan Harapan yang akan dibentang hari ini boleh dipercayai.
“Semua pihak menunggu dengan penuh debaran dan harapan tentang #Bajet2019 .
“Persoalannya sama ada bajet ini mampu dipercayai sedangkan manifesto pun tak ditunaikan? Rakyat sedang memerhati,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.
Hari ini akan mencatat sejarah apabila bajet persekutuan pertama dibentangkan di Parlimen oleh sebuah kerajaan baharu sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Bajet 2019 oleh kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan itu akan dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada jam 4 petang.
Walaupun harapan rakyat tinggi, ia boleh menjadi satu daripada bajet yang paling sukar di tengah-tengah dakwaan penyelewengan, perbelanjaan diragui serta hutang tinggi yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional, menjadikan lembaran imbangan fiskal hampir tidak dapat diperbaiki.
Baru-baru ini Lim berkata, bajet 2019 akan menjadi bajet yang sukar kerana kerajaan perlu mengurangkan hutang negara berjumlah RM1 trilion untuk membawa ekonomi kembali ke landasan yang betul secara fiskal dalam masa tiga tahun.
“Ini bermakna kerajaan baharu perlu melaksanakan tugas amat berat untuk memperkukuh kedudukan kewangannya dan pada masa yang sama mengemudi ekonomi keluar daripada kelembapan pada tahun-tahun akan datang,” kata Kenanga Investment Bank dalam satu Nota Penyelidikan.
Peruntukan Bajet 2019 berdasarkan purata harga minyak mentah US$70 setong, walaupun penanda aras minyak mentah Brent mendekati AS$80 setong pada masa ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.