Jumaat, 30 November 2018

Wanita UMNO anjur program perincikan ICERD

Shawaliah Hadir

xMGF02062017_BuburLambukMATRADE008-681x454
Datuk Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO akan memberi penerangan secara terperinci tentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dalam sebuah program yang akan diadakan 1 Disember.

Menurut Ketuanya Datuk Dr Noraini Ahmad, Program Wanita dan Isu Semasa (WISE) tidak bersifat politik sebaliknya ia strategi untuk membantu rakyat memahami lebih jelas tentang ICERD, isu yang baru-baru ini mendapat perhatian umum.

“Wanita UMNO melihat bahawa masyarakat pelbagai peringkat harus peka dan memahami perkembangan isu ICERD.

“Apatah lagi isu ini melibatkan usaha kerajaan Malaysia untuk menandatangani dan membuat ratifikasi ICERD dan telah membangkitkan kemarahan orang Melayu kerana pelbagai peruntukan di bawahnya jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan media.

Ujarnya, ICERD perlu ditentang secara konsisten kerana usaha untuk memastikan Malaysia menandatangani telah berjalan sejak  Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Pelobi ICERD sudah lama melobi agar Malaysia meratifikasikan konvensyen antarabangsa ini sejak ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN). Namun ketika itu, BN bersikap tidak melayan desakan untuk menandatangani ICERD, yang dilihat akan mengganggu gugat asas pembinaan dan perlembagaan negara,” tambah beliau.

WISE yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 10 pagi itu kata Noraini lagi, terbuka untuk semua ahli Wanita UMNO, Muslimat Pas, badan-badan bukan kerajaan (NGOs), profesional, pemimpin serta pelajar universiti wanita.

Pakatan Harapan baru-baru ini mengumumkan untuk tidak menandatangani ICERD.

Walaubagaimanapun pengumuman menerusi Pejabat Perdana Menteri itu dianggap tidak cukup dan UMNO berpendirian ianya perlu dibuat dalam Dewan Rakyat agar dapat direkodkan secara rasmi. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.