Sabtu, 24 November 2018

Penerbit, pengarah resah langkah lambat Gobind

 
   

Penggiat filem menyeru Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo supaya tidak melengah-lengahkan pelantikan pengerusi dan ketua pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Tanpa penjawat bagi kedudukan tersebut, kata mereka, badan terbabit kini bergerak tanpa arah yang jelas, seperti sebuah kapal layar tanpa nakhoda.

Pengarah Mahadi J Murat berkata ketika ini Finas diterajui oleh seorang penyandang ketua pengarah saja dan ia tidak memadai kerana tiada keputusan penting dapat diambil.

“Justeru kami menyeru menteri menyegerakan apa saja beliau nak buat supaya penggiat bidang perfileman tidak tertunggu-tunggu... nanti susah,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagi presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia itu, untuk meneruskan kelangsungan dunia perfileman tanah air, tidak salah sekiranya dalam kerajaan meneruskan program yang pernah dilaksanakan pemerintah terdahulu.

“Teruskan saja program dana sebelum ini misalnya jika sukar nak capai sesuatu keputusan, tapi dengan syarat - perlu ada penambahbaikan agar tidak perlu tunggu masa terlalu lama bagi memastikan dunia perfileman tanah air terus bergerak,” katanya.

Letak jawatan lepas PH menang
 
Mahadi yang juga pensyarah perfileman, teknologi kreatif dan kebudayaan sebuah universiti swasta itu turut mencadangkan agar Gobind mendapatkan nasihat daripada sumber yang betul sebelum membuat sesuatu keputusan penting.

“Banyak orang berkepentingan dengan kehendak dan harapan yang berbeza.

"Kalau sudah buat keputusan, sukar untuk berpatah balik. Tapi kebimbangan saya ialah kepada generasi muda yang baru tamat belajar sekarang,” katanya.
Mahadi J Murat
Menurut Mahadi, lepasan kursus perfileman perlu diberi perhatian agar mereka mereka tidak tenggelam punca daripada mendapatkan pengalaman dan sokongan daripada agensi kerajaan itu.

Untuk rekod, sebelum ini jawatan pengerusi Finas disandang Khusairi Abdul Talib yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim.

Beliau meletak jawatan kurang seminggu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan pusat.

Fauzi Ayob pula memegang jawatan ketua pengarah Finas sebelum diganti Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Shakib Ahmad Shakir sebagai pemangku berkuatkuasa 8 Oktober lalu. 

Selepas itu, KKMM mengumumkan bakal menstruktur semula Finas agar lebih maju pada masa depan. 

Tiada kata putus
 
Sebagai pemangku ketua pengarah, difahamkan bidang kuasa Shakib terhad seperti untuk meluluskan perolehan, geran atau kewangan.

Pada 15 Okt lalu Gobind berkata anggota Lembaga Pengarah Finas telah dilantik dan akan diperkenalkan kepada khalayak umum minggu ini. 

Pada masa sama Finas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkaitan beberapa peruntukan yang diterimanya pada 2017. 

Pengarah, Sabri Yunos, pula berkata penerbit kecil dan tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat besar kini terjejas teruk kerana bergantung harap pada individu tertentu untuk mendapatkan kelulusan dana bagi sesuatu projek.

“Sebelum ni saya dengar ada filem sudah diluluskan untuk dapat dana tetapi kemudian tak ada kata putus daripada Finas sama ada ia boleh diteruskan atau tidak,” katanya.

Pengarah Yusof Kelana berpendapat, sesuatu pelantikan jawatan tertinggi di Finas perlu diumumkan segera agar dunia perfileman negara dapat mencorak hala tujunya pada masa depan.

“Kami ingin tahu apakah dasar baru bidang perfileman yang akan diperkenalkan oleh kementerian ni?

"Bidang perfileman masih diteruskan, tetapi rasa seperti anak yang tak ada bapa untuk jadi tempat mengadu atau berbincang masalah,” katanya.

Penerbit Richard Ang pula hairan mengapa hingga kini Gobind masih belum mengumumkan siapa sebenarnya yang bakal menduduki jawatan penting Finas sedangkan terdapat beberapa nama calon diuar-uarkan akan mengisi kekosongan itu.

“Bukan saja Finas, agensi lain seperti RTM dan Bernama juga tak ada ketua pengarah sekarang.

"Saya harian kenapa Gobind tak mahu buat keputusan.

“Kami sebagai penerbit mahu hala tuju positif dan persekitaran kondusif kerana pada satu sisi lain, menteri boleh membantu untuk mencorakkan perniagaan.

“Menteri juga berperanan mempromosi produk kami yang terbaik di luar negara sebagai satu perangsang semangat kepada penerbit tempatan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.