Datuk Seri Najib Razak hari ini tampil menjawab tuduhan Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Nazri Aziz berhubung tuduhan 1MDB yang dikatakan menjadi punca utama kekalahan BN pada PRU14 lalu.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak menafikan yang 1MDB menjadi antara salah satu faktor kekalahan BN, namun tetap merasakan segala fitnah Pakatan Harapan (PH) perlu dijawab dah didedahkan.
Malah katanya, dua bekas menteri kabinet era pentadbirannya itu tidak perlu risau dengan kelantangannya, sebaliknya perlu bagi ruang kepada beliau untuk membersihkan nama.
Berikut kenyataan penuh Najib:
Nazri Aziz dan Khairy tidak hadir di acara sembang santai saya bersama rakan-rakan FB saya semalam namun mengeluarkan pendapat mereka bersandarkan kepada laporan berita yang tidak tepat dan nakal.
Jika mereka hadir sama-sama atau menonton video FB live, sudah tentu mereka tahu apa yang saya maksudkan tentang propaganda tidak benar dan penipuan dibuat mengenai 1MDB. Saya tak kata 1MDB tidak menjadi faktor kekalahan BN.
Jika saya percaya bahawa tiada apa yang salah tentang 1MDB, sudah tentu saya tidak akan mengarahkan PAC yang dianggotai ahli parlimen pembangkang dan kerajaan untuk siasat atau menandatangani penyelesaian dengan IPIC bagi mendapatkan semula wang yang dikatakan hilang.
Saya tak mahu terjerumus ke dalam permainan menuding jari ini. Tetapi saya percaya setiap seorang daripada kita bertanggungjawab terhadap kekalahan ini.
Saya ambil tanggungjawab itu dan melepaskan semua jawatan serta tidak bertanding dalam apa apa jawatan parti atau dilantik bagi apa apa jawatan.
Tak usahlah bimbang tentang kelantangan saya di sosial media atau sokongan untuk sesi sembang santai semalam.
Sebagaimana saya katakan di program itu semalam, saya hanya berminat untuk memperbetul dan menjelaskan mengenai penipuan yang berleluasa PH selama ini dan yang direka selepas jadi kerajaan, mengeluarkan fakta, membersihkan nama saya, mengkritik dan memberi pendapat saya apabila saya lihat sesuatu isu berkaitan rakyat dan halatuju negara.
Berilah ruang untuk saya mencapai matlamat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.