Sabtu, 24 November 2018

Bekas ahli Parlimen Umno langau politik, kata Zahid


Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bekas ahli Parlimen Umn
‘tidak membawa bau sampah ke dalam Umno’.
KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan ahli Parlimen yang meninggalkan parti itu sebagai langau politik.

“Oleh kerana mereka merupakan langau politik yang pasti cari najis dan sampah, carilah najis dan sampah itu, tetapi jangan bawa bau sampah ke dalam Umno,” katanya semasa berucap pada program lawatannya bersama Majlis Kerja Tertinggi Umno ke Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut mengucapkan terima kasih kepada 48 ahli Parlimen Umno dan 4 ahli Parlimen Barisan Nasional yang setia bersama parti itu.

“Sesungguhnya kita mempunyai 52 ahli Parlimen yang tak sanggup jadi langau.”

Pada 26 Oktober lalu, bekas pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang lebih 40 parti bersama parti itu, menyertai PPBM. Beliau meninggalkan Umno pada 18 September lalu kerana hala tuju parti itu tidak lagi selari dengan prinsipnya.

Turut meninggalkan Umno selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu adalah bekas menteri luar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal serta Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali.

Sementara itu, Zahid menasihatkan ahlinya supaya tidak takut terhadap kerjasama Umno dan PAS.

“Kita harus ada permuafakatan. Kita perlu bekerjasama dengan mana-mana politik, mana-mana NGO, mana-mana rakan yang sanggup bekerjasama dengan kita.

“Kita bukan mahu gabungan, kita dalam gagasan pembangkang. Kita bekerjasama atas isu. Kita bekerjasama atas perkara-perkara untuk kepentingan bersama.

“Kalau kita bekerjasama dengan PAS, PAS adalah teman sejati baru kita. Apa salahnya kita berkolaborasi? Kita membuka tangan untuk mendakap keikhlasan PAS bagi kerjasama dengan Umno dalam isu-isu.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.