Khamis, 1 November 2018

Angka 'ketirisan' FINAS mengejutkan! - Gobind

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani
Angka 'ketirisan' FINAS mengejutkan! - Gobind
Sistem perakaunan FINAS sangat lemah dan tidak boleh diterima selain tiada akauntabiliti bagi jumlah-jumlah wang yang sangat besar. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mengumumkan anggota Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang baharu pada minggu hadapan.

Katanya, lembaga perbadanan baharu FINAS telah dilantik yang terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman serta pengetahuan dalam bidang perfileman, karyawan dan perakaunan.

“Saya juga bercadang untuk melantik akauntan daripada syarikat bertauiliah untuk mengkaji dan melaporkan, dengan persetujuan badan, kepada KKMM struktur kewangan baru yang perlu untuk meningkatkan sistem kewangan dan akauntabiliti FINAS supaya tiada lagi ketirisan, kehilangan dan masalah-masalah integriti dan akauntabiliti sebegini berlaku pada masa depan.

“Dana merupakan satu aset yang sangat penting kepada industri perfileman negara dan perlu dipastikan bahawa ianya di gunakan dan disalurkan kepada pihak-pihak yang wajar dalam keadaan adil dan saksama.

“Di mana wujudnya kekurangan, maka ianya membawa kesan buruk kepada industri ini. Ini mesti kita elakkan,” ujarnya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Katanya pelantikan anggota lembaga pengarah yang baharu itu juga seiring usaha untuk mengkaji semula sistem kewangan didalam FINAS supaya keadaan isu ketirisan tidak berulang.

Katanya, penyata kewangan FINAS untuk tahun 2016 telah dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Laporan tersebut menyatakan bahawa penyata kewangan FINAS tidak memberi gambaran yang benar dan saksama terhadap kedudukan kewangan FINAS pada 31 Disember 2016 dan prestasi kewangan serta aliran tunai bagi tahun kewangan tersebut selaras dengan piawaian pelaporan yang ditetapkan.

“Laporan Ketua Audit Negara juga menghuraikan 11 sebab sebagai asas kepada pendapat yang bertentangan dengan Penyata Kewangan FINAS tersebut.

“Saya memandang serius laporan Ketua Audit Negara ini. Laporan bahawa Penyata Kewangan FINAS tidak memberi gambaran yang benar dan saksama merupakan satu perkara yang sangat berat dan sama sekali mematahkan integrity sistem kewangan FINAS seperti mana diharapkan didalam penyata kewangan tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, laporan tersebut menunjukkan sistem perakaunan FINAS sangat lemah dan tidak boleh diterima selain tiada akauntabiliti bagi jumlah-jumlah wang yang sangat besar.

Antara yang dilaporkan:

Cukai pendapatan: RM6,213,623.14 dan RM3,246,004.49 bagi tahun taksiran 2006 sehingga 2015 dan RM2,126,710.32 bagi tahun 2016;

Ketepatan baki bank: RM11,539,633;

Baki pendahuluan dan penghutang pinjaman: RM2,446,092 dan RM3,043,356;

Penghutang sewaan: RM81,707 (identiti penghutang sewaan tidak dapat dikenal pasti)

Baki penghutang pelbagai: RM146,107

Baki kredit: RM12,687,897 (tidak dapat dikenal pasti);

Pelbagai pemiutang: RM1,366,787 dan RM30,175,063 (tidak dapat dikenalpasti);

Keraguan berkaitan deposit filem: RM18,450,900


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.