Isnin, 22 Oktober 2018

Rafizi menang di Perlis, Azmin menang fasa kedua di Selangor

MALAYSIAKINI

   
PEMILIHAN PKR | Penyandang jawatan timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah memenangi pengundian fasa kedua di Selangor sementara pencabarnya Rafizi Ramli menangi di Perlis.

Ketika ini keputusan pengundian di Negeri Sembilan dan Melaka belum dimuktamadkan.

Menurut keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan jawatankuasa pemilihan PKR, Rafizi meraih 400 undi berbanding Azmin yang mendapat 334 undi di Perlis.

Azmin pula memperoleh 4,978 undi berbanding Rafizi yang mendapat 4,385 undi bagi pengundian fasa kedua di Selangor.

Fasa pertama di Selangor sebelum ini, Azmin meraih 9,377 undi sementara Rafizi memperoleh 8,563 undi.

Dengan perkembangan terbaru bagi minggu kelima pengundian ini, Azmin menjarakkan lagi jurang perbezaan undi dengan Rafizi.

Berdasarkan pengiraan Malaysiakini setakat ini, secara keseluruhan Azmin meraih 34,383 undi sementara Rafizi 33,122 undi, iaitu perbezaan sebanyak 1,261 undi.

Di Perlis, Rafizi menang di Padang Besar dan Kangar sementara Azmin menang di Arau.

Bagi pengundian fasa kedua di Selangor, Azmin menang di Gombak, Petaling Jaya Utara dan Selatan, serta Kuala Langat. Rafizi pula menang di Puchong, Klang dan Selayang.

Persaingan merebut empat jawatan naib presiden pula menyaksikan, Nurul Izzah Anwar mendahului dengan 585 undi, diikuti Datuk Johari Abdul (489), Zuraida Kamaruddin (449), dan Tian Chua (377).

Persaingan merebut empat jawatan naib presiden di Perlis pula menyaksikan, Nurul Izzah Anwar mendahului dengan 585 undi, diikuti Datuk Johari Abdul (489), Zuraida Kamaruddin (449), dan Tian Chua (377).

Di Selangor, bagi fasa kedua pengundian, Nurul Izzah mendahului dengan 5,710, diikuti Dr Xavier Jayakumar (5,623), Zuraida (4,771) dan William Leong (4,406).

Setakat ini, jumlah keseluruhan undi bagi empat calon utama didahului Nurul Izzah sebanyak 38,004 undi, diikuti Zuraida (29,911), Xavier (25,966), dan Tian Chua (23,861).

Calon lain bagi jawatan naib presiden adalah Shamsul Iskandar Md Akin yang meraih 23,086 undi, diikuti William Leong (20,528), Johari (20,172), S Kesavan (19,181), K Vasantha (10,342), Azan Ismail (6,474), Balasubramaniam (5,112), Michael Tamil (4,456).

Persaingan sayap PKR

Bagi persaingan jawatan ketua Pemuda PKR pula, Akmal Nasir menang di Perlis dengan 186 undi mengalahkan Dr Afif Bahardin yang meraih 112 undi. Seorang lagi calon, Najwan Halimi hanya meraih 12 undi.

Di Selangor, dalam pengundian fasa kedua, Akmal menangi dengan 1,268 undi sementara pencabarnya Afif dan Najwan masing-masing meraih 1,199 undi dan 210 undi.

Hilman Idham pula menang di Perlis bagi jawatan timbalan ketua Pemuda PKR dengan 135 undi mendahului pencabarnya Raymond Ahuar (128) dan Naqiuddin Nazrin (13).

Dalam fasa kedua pengundian di Selangor, Hilman menang dengan 1,478 undi mengalahkan Raymond dan Naqiuddin yang masing-masing memperoleh 820 dan 221 undi.

Berdasarkan pengiraan Malaysiakini secara keseluruhan setakat ini, bagi jawatan ketua Pemuda PKR, Afif kekal mendahului dengan 7,943 undi sementara Akmal 7,897 dan Najwan 1,809 undi.

Bagi jawatan timbalan ketua Pemuda PKR pula, Hilman kekal di hadapan dengan 9,942 undi, sementara Raymond dan Naqiuddin masing-masing memperoleh 4,661 dan 1,800 undi.

Persaingan jawatan ketua Wanita PKR pula menyaksikan Haniza Talha menang di Perlis dan fasa kedua pengundian di Selangor dengan 175 undi dan 2,606 undi di negeri berkenaan. Pencabarnya Fuziah Salleh memperoleh 140 undi di Perlis dan 2,156 undi dalam pengundian fasa kedua di Selangor.

Bagi jawatan timbalan ketua Wanita PKR, Daroyah Alwi menang di Perlis dan fasa kedua pengundian di Selangor dengan 181 dan 2,471 undi.

Pencabarnya, Rodziah Ismail memperoleh 133 undi di Perlis dan 2,023 undi dalam fasa kedua pengundian di Selangor.

Haniza kini mendahului persaingan jawatan ketua Wanita dengan 13,869 undi, sementara Fuziah mengekor dengan 11,044 undi.

Daroyah pula mendahului bagi jawatan timbalan ketua Wanita PKR dengan 13,797, diikuti Rodziah 9,934 undi.

Pemilihan PKR akan diteruskan di Kedah, yang akan menyaksikan 10 cabang akan mengundi Jumaat ini, dan lima cabang lain negeri itu mengundi pada Sabtu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.