Polis dijangka memanggil bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat berhubung status Facebooknya yang berkempen pada hari mengundi sewaktu pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis.
Ketua Polis Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat perkara itu.
"Siasatan masih dalam tindakan. Semua yang terlibat akan dipanggil masa terdekat. Hanya menunggu pengesahan dari SKMM mengenai beberapa perkara," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Rosly mengulas dakwaan Jawatankuasa Pemandu BERSIH hari ini bahawa pihak polis bertindak berat sebelah berhubung laporan mengenai kesalahan pilihan raya yang dilakukan Najib.
Pemantau pilihan raya itu dalam sidang akhbar pagi ini mendakwa polis hanya memanggil pengerusinya, Shahrul Aman Mohd Saari untuk mengambil keterangan dan bukannya bekas perdana menteri itu.
Pengarah Eksekutif BERSIH, Yap Swee Seng berkata mereka mahu pihak berkuasa menyiasat individu yang dituduh melakukan kesalahan dan bukannya orang yang membuat laporan.
"Ini masalahnya. Kami mahu tanya pihak polis, adakah mereka telah memanggil Datuk Seri Najib berhubung kempen di Facebook (pada hari mengundi PRK Sungai Kandis)? Adakah mereka telah mengambil keterangannya? Padahal mereka telah mengambil keterangan dari pengerusi BERSIH.
"Kita lihat tindakan ini tidak adil ketika kita mahu proses pilihan raya yang bersih dan untuk orang ramai melaporkan kesalahan pilihan raya," katanya kepada pemberita di pejabat BERSIH di Petaling Jaya.
Yap merujuk laporan yang dibuat BERSIH kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap Najib berhubung status Facebooknya pada 4 Ogos, di mana bekas presiden Umno itu meminta para pengundi menyokong calon BN Datuk Lokman Noor Adam.
Suruhanjaya itu kemudian membuat laporan polis terhadap Najib.
Shahrul Aman, yang kenyataannya direkodkan oleh polis Putrajaya pada Ogos berkata "gangguan' dilakukan polis boleh menakutkan orang ramai untuk tampil ke hadapan sebagai saksi bagi kesalahan pilihan raya.
Beliau berkata, BERSIH memainkan peranan sebagai platform kepada orang ramai untuk melaporkan kesalahan pilihanraya yang kemudian akan diserahkan kepada pihak berkuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.