Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli hari ini
meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti itu membatalkan
keputusan pemilihan pusat cabang Labis.
Rafizi, kini menjawat jawatan naib presiden, mendakwa
terdapat campur tangan pengawas JPP yang mengundi bagi pihak anggota
parti.
Dalam satu laporan kepada Pengerusi JPP Datuk Rashid Din
dan Pengerusi Jawatankuasa Aduan Pemilihan Pusat Dr Syed Husin Ali,
Rafizi mendakwa kelemahan utama pengendalian pemilihan setakat ini
bukanlah berpunca dari sistem pengundian elektronik (e-undi).
"Sebaliknya apabila pengawas-pengawas JPP secara
terang-terangan merayu undi (dengan mengambil senarai calon lawan dan
digantikan dengan senarai calon lain di dalam dewan pengundian)," dakwa
Rafizi.
Beliau mendakwa mempunyai klip video “bukti” bagaimana
pengawas JPP berada di tepi pengundi-pengundi untuk memberi arahan calon
mana perlu diundi.
"Malah ada yang mengundi sendiri bagi pihak pengundi," dakwanya lagi.
Semalam di pemilihan negeri Johor, Rafizi ketinggalan
kepada pesaing dan juga penyandang Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin
Ali dengan majoriti 827 undi.
Azmin mendapat 5,852 undi diikuti Rafizi hanya mendapat 5,025 undi.
Rafizi berkata akan menghantar laporan lengkap bagaimana
JPP dari cabang-cabang lain di luar Johor yang ditempatkan “sehingga
memberi kemenangan yang meragukan”.
"Oleh kerana kejadian di Labis ada bukti-bukti yang
kukuh, saya dengan ini membuat permohonan rasmi agar keputusan pemilihan
di cabang Labis semalam dibatalkan," tegasnya.
Surat aduan Rafizi turut ditujukan kepada dua pemimpin
paling kanan parti – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri
Anwar Ibrahim – dan Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Isu sama di Tebrau, Ledang dan Pontian
Sementara itu, Naib Pengerusi PKR Melaka G Rajendran
menyeru JPP membatalkan keputusan di tiga cabang lain di Tebrau, Ledang
dan Pontian.
"Selaku saksi terhadap manipulasi yang dilakukan oleh
pengawas JPP, saya meminta keputusan Labis, Tebrau, Ledang dan Pontian
dibatalkan serta-merta,” dakwa beliau.
Timbalan Pengerusi Cabang Serdang R Suresh Kumar pula
meminta Rafizi dan penyokongnya memboikot pemilihan kali ini, susulan
dakwaan ditimbulkan.
"Pada pandangan saya intergriti JPP sangat tercemar,” katanya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi JPP berkaitan dakwaan di atas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.