Rabu, 17 Oktober 2018

PDRM, KERAJAAN MOHON BATAL SAMAN UMNO


Wartawan Watan-Online




Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman oleh UMNO yang menuntut wang RM116.7 juta dirampas daripada bekas presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak, dipulangkan.

Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali, berkata demikian ketika ditemui selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rumaizah Baharom, di sini.

“UMNO tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan permohonan itu.

“Kami akan kemukakan permohonan untuk membatalkan saman itu selain meminta penangguhan prosiding sebelum tarikh pengurusan kes akan datang. Mahkamah juga sudah menetapkan 1 November depan untuk pengurusan kes,” katanya di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Sementara itu, Peguam Datuk Hariharan Tara Singh berkata pihaknya akan mengemukakan bantahan terhadap permohonan itu.

Beliau juga berkata, pihaknya sudah mengemukakan notis permohonan penzahiran dokumen terhadap defendan pada 3 Oktober lalu.

UMNO memohon Amar Singh menyerahkan kepada plaintif senarai dokumen yang berkaitan dengan sitaan wang yang dilakukan dalam premis di sebuah rumah di Tower B, Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan pada 17 Mei lalu.

Antara dokumen yang diminta ialah salinan laporan polis yang menjadi asas sitaan wang itu, salinan senarai wang yang disita, salinan gambar wang yang disita dan rajah kasar penemuan wang yang disita.

Sementara itu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, melalui afidavit sokongannya, mengesahkan berhubung permohonan penzahiran dokumen itu.

Pada 24 September lalu, UMNO memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut wang RM116.7 juta milik mereka yang dirampas oleh PDRM.

Saman itu dikemukakan melalui Datuk Seri Abd Rauf Yusoh sebagai pegawai awam UMNO dan plaintif dalam kes itu.

Melalui dokumen yang diperoleh, mereka menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Sakri Arifin; Penolong Pesuruhjaya Polis JSJK, R Rajagopal; Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan kerajaan sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, UMNO antara lain memohon deklarasi bahawa penggeledahan dan penyitaan yang dilaksanakan pada 17 Mei 2018 di premis adalah salah di sisi undang-undang.

UMNO memohon perintah untuk pemulangan semula wang RM116.7 juta kepada mereka.

Mereka juga memohon perintah untuk pemulangan wang jumlah RM43.3 juta iaitu perbezaan jumlah RM160 juta dan RM116.7, kepada UMNO selain memohon ganti rugi am, teruk dan teladan.

Plaintif mendakwa UMNO adalah pemilik wang RM160 juta itu dan defendan secara salah mengganggunya dengan menyita secara tidak sah dan merampas serta mengambil alih pemilikan dana itu.

Plaintif mendakwa walaupun UMNO sudah menuntut pengembalian dana itu, defendan gagal, cuai dan enggan berbuat demikian.

Akibat daripada tindakan semua defendan itu, plaintif mendakwa UMNO kehilangan hak untuk menggunakan dana terbabit serta mengalami kehilangan dan kerugian.

Berdasarkan pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa UMNO yang ditubuhkan pada 1946 adalah pengasas parti gabungan Barisan Nasional (BN) dan membentuk kerajaan Malaysia sehingga 9 Mei 2018.

Abd Rauf mendakwa UMNO memberi kuasa kepada Presidennya untuk memperoleh sumber dan menguruskan dana/derma untuk parti itu, yang antara lainnya bertujuan untuk pilihan raya.

Menurut Abd Rauf, dana pilihan raya dipegang oleh Presiden UMNO sebagai pemegang amanah dan tiada pegawai atau ahli dalam parti itu yang mempunyai akses atau pengetahuan penuh mengenai dana berkenaan.

Beliau mendakwa baki dana pilihan raya bersama-sama dengan aset lain diserahkan oleh Presiden UMNO yang terdahulu kepada presiden akan datang.

Menurutnya, bilik kebal itu digunakan oleh perdana menteri yang berkhidmat pada masa material untuk menyimpan dana pilihan raya.

Abd Rauf mendakwa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sebanyak RM160 juta adalah baki dana pilihan raya yang juga milik UMNO dan dipegang oleh Najib sebagai pemegang amanah.

Beliau mendakwa selepas PRU-14, bagi memastikan keselamatan dana, Najib meletakkan dana itu di sebuah apartmen di Pavilion Residence, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur dengan persetujuan pemilik premis iaitu OBYU Sdn Bhd.

Beliau juga mendakwa, selepas itu hanya Nahib mempunyai milikan eksklusif ke atas premis berkenaan.

Najib sebelum ini dilaporkan berkata bahawa wang tunai, termasuk mata wang asing yang dirampas polis dalam beberapa serbuan di ibu negara adalah milik UMNO dan mahu ia dikembalikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.