Datuk Seri Najib Razak beberapa kali dilihat gagal mengawal perasaannya ketika diwawancara Al Jazeera untuk program 101 East hari ini, kata organisasi media itu.
Menurut Al Jazeera, dalam sesi soal jawab selama sejam itu bekas perdana menteri ditanya berkenaan isu-isu yang dikaitkan dengan dirinya, daripada isu "berlian merah jambu" kepada "derma RM2.6 bilion".
Al Jazeera berkata Najib beberapa kali gagal bertenang dan soalan tentang berlian merah jambu menyebabkannya "kelihatan begitu jengkel".
Wawancara itu dikendalikan Mary Ann Jolley, yang pernah diusir daripada Malaysia oleh pentadbiran BN pada 2015 ketika membuat liputan kes pembunuhan Altantuya Shariibuu.
Ketika Jolley membangkitkan perkara itu, Najib berkata beliau tidak menyesal berbuat demikian.
"Baguslah kami usir anda. Anda hanya menyibuk.
"Di negara ini kami tiada toleransi terhadap (tindakan) mereka-reka penipuan," katanya.
Jolley menerbitkan dokumentari bertajuk Murder in Malaysia yang cuba menjelaskan banyak persoalan yang tak terjawab seputar pembunuhan Altantuya.
Dokumentari selama 30 minit itu antara lain mendakwa Sirul Azhar Umar - salah seorang bekas komando polis yang disabitkan bersalah membunuh warga Mongolia itu pada 2006 - pernah cuba mengugut Najib.
Wawancara 101 East bersama Najib dijadual disiarkan pada pukul 11.30 pagi esok (27 Oktober), diikuti siaran ulangan pada Isnin dan Selasa.
Rancangan itu juga boleh ditonton secara atas talian selepas ia disiarkan buat kali pertama esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.