MENTERI Kewangan, Lim
Guan Eng sekali lagi hari ini 22 Oktober 2018 di Dewan Rakyat telah
memfitnah Kerajaan Kelantan kononnya tidak dapat membayar gaji
kakitangan. Nampaknya Menteri Kewangan ini begitu berdendam dengan
Kelantan yang telah ditadbir oleh PAS sekian lama. Padahal soalan
tambahan yang diajukan Dato Takiyuddin Hassan (PAS - Kota Bharu) adalah
soalan biasa yang tidak mempunyai unsur provokasi.
Apa yang diutarakan oleh Kota Bharu
ialah berhubung pandangan kerajaan jika Kerajaan Negeri Kelantan dan
Terengganu memulakan inisiatif sendiri untuk menyiapkan projek ECRL?
Menteri Kewangan dengan sinis menjawab, "Bagaimana mahu siapkan ECRL
jika bayar gaji kakitangan pun tidak mampu?"
Di dalam Dewan, kami ahli-ahli Parlimen
dari Kelantan menuntut agar Menteri Kewangan menarik balik kenyataannya
kerana ia mengelirukan Dewan namun tidak dibenarkan. Kita minta
dibuktikan dengan jelas bilakah Kelantan tidak mampu membayar gaji
kakitangannya?
Jika disebut bahawa Kelantan menerima
bantuan Kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji, perlulah dinyatakan
bahawa tidak ada satu pun negeri di Malaysia yang tidak menerima
peruntukan di bawah Perbendaharaan Negara. Saya merujuk kepada data yang
dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada 27 Oktober 2017 di bawah
tajuk Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2018.
Di dalam Lampiran E iaitu di bawah tajuk
Pemberian Sebenar Kepada Kerajaan Negeri Tahun 2016, Kelantan
dinyatakan telah menerima sejumlah RM397,989,333.00.
Jika dibandingkan dengan Negeri
Selangor, negeri tersebut telah menerima sebanyak RM761,803,058.00 di
bawah peruntukan Perbendaharaan Negara untuk tahun 2016.
Tidaklah dinafikan kelayakan Selangor
menerima peruntukan yang lebih banyak kerana jumlah pemberian tersebut
berasaskan kepada keperluan tersendiri termasuklah bilangan penduduk.
Namun ia mengesahkan bahawa tiada negeri yang tidak menerima wang
daripada Kerajaan Pusat.
Jika ditinjau kepada senarai berkenaan,
dapat dilihat bahawa Negeri Johor menerima sebanyak RM802,219,813.00,
Kedah (RM373,288,565.00), Pahang (RM391,115,129.00), Sabah
(RM1,086,260,027.00) dan Sarawak (RM1,159,277,479.00).
Fakta-fakta ini menjelaskan bahawa Menteri Kewangan hari ini sekali lagi berbohong dan memfitnah Kelantan di dalam Dewan Rakyat.
USTAZ AHMAD FADHLI SHAARIAhli Parlimen Pasir Mas
HARAKAHDAILY
HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.