Isnin, 22 Oktober 2018

Kisah Anwar jadi PM, Zahid hadapi 45 tuduhan

Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzaman


DUA minggu ini banyak cerita dan isu di negara kita. Seronok editor dan wartawan menulis dan mengupas untuk disiarkan dalam media masing-masing.

Kali ini saya cuma nak sentuh dua perkara yang paling menarik sahaja. Pertama ialah kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson dan bila beliau jadi Perdana Menteri mengantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Yang kedua, kisah paling hangat apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 45 tuduhan membabitkan rasuah salah guna kuasa, pecah amanah dan ubah wang haram membabitkan wang RM114 juta.

Kita cerita dahulu kisah Anwar yang menang besar dan majoriti berganda-ganda. Selain sebagai pengesahan atau sokongan untuk beliau menjadi Perdana Menteri, keputusan itu dianggap sebagai referendum pengundi kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menang PRU-14 pada 9 Mei lalu.

Dr Mahathir dalam laporan media juga rasa gembira Anwar menang. Yang ditunggu sekarang bila Dr Mahathir akan lepaskan jawatan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri yang beliau sendiri pecat 20 tahun lalu itu.

Memang ada perjanjian dalam PH, jawatan itu akan diserahkan kepada Anwar selepas dapat pengampunan dan layak menjadi Ahli Parlimen. Yang tidak dinyatakan bila Dr Mahathir akan serah jawatan itu.

Namun, ada pelbagai pendapat, termasuk ahli dan penyokong PH. Ada mahu Dr Mahathir habiskan penggal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang yang kalau ikut tempohnya pada 2023.

Ada juga nak Anwar dilantik selepas dua tahun, yakni pada 2020. Ada juga mahukan Dr Mahathir serahkan segera kepada Anwar. Banyak pendapat dan pandangan.

Tetapi, saya nak cadangkan bagi setakat dua tahun ini kepada Dr Mahathir sehingga umur beliau 95 tahun. Anwar pun rasanya setuju. Bagi ruang kepada Dr Mahathir ‘bersihkan negara’ dan kemudian Anwar sambung dan teruskan agenda reformasi dirancangnya.

Teringin juga nak tengok Anwar jadi Perdana Menteri selepas terlepas peluang apabila dipecat oleh Dr Mahathir dulu. Lagi pun, kalau Dr Mahathir terus jadi Perdana Menteri sehingga habis penggal, maknanya beliau akan pimpin negara hingga usianya 98 tahun, kurang dua tahun 100 tahun. Kasihan juga kepada Dr Mahathir.

Bak kata anak beliau, Datuk Seri Mukhriz ketika saya berkunjung ke Wisma Darulaman pada Ahad lalu, takkan nak biarkan Dr Mahathir jadi Perdana Menteri sampai umur 98 tahun atau dekat 100 tahun. Saya setuju. Elok bagi peluang kepada Dr Mahathir berehat.
 
Kisah kedua bila Ahmad Zahid menghadapi 45 pertuduhan, semua didakwa dilakukan dalam tempoh beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Terkejut satu negara sebab banyak tuduhan yang dikenakan terhadap Presiden UMNO itu. Sebelum ini Datuk Seri Najib Razak dikenakan banyak tuduhan yang ada kaitan dengan 1MDB. Khabarnya ada lagi pemimpin UMNO yang menunggu giliran.

Banyak sungguh kes salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan pemimpin kerajaan lama. Ini sangat memalukan dan perlu dihentikan.

Walaupun masih di mahkamah dan mereka perlu diadili terlebih dahulu, ia amat memalukan negara. Di mana silapnya? Sistem atau perangai individu itu sendiri. Jawapan saya, kedua-duanya sekali.

Jauhi kemungkaran dan bertugas dengan ikhlas dan berintergriti. Kalau pemimpin nombor satu dan nombor dua negara dikaitkan dengan salah laku rasuah, kita bimbang mereka di bawahnya pun terpalit.

Sistem pentadbiran dan pengurusan juga perlu perubahan. Keseluruhan negara perlukan reformasi dan transformasi. Ia bagi mencegah atau mengurangkan salah laku. Setakat ini ada petanda positif daripada Kerajaan PH, tetapi belum tentu terlaksana.

Terserah kepada Dr Mahathir dan selepas ini Anwar serta barisan pemimpin PH lain.

*Penulis adalah Pengarang Eksekutif Berta Harian
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.