Isu
keanggotaan dalam komponen BN dan hubungan parti itu dengan PAS
dijangka bakal menjadi topik hangat yang akan dibincangkan dalam
Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MIC yang dijadualkan esok.
MIC yang merupakan parti ketiga terbesar dalam komponen BN, selepas Umno dan MCA dijangka akan menjadikan AGM itu sebagai platform untuk menetapkan hala tujunya selepas kalah pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno dijadual merasmikan mesyuarat tahunan itu.
Turut dijangka hadir adalah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Di bawah pimpinan Presiden MIC yang baru, Tan Sri SA Vigneswaran yang dilihat sebagai masih setia dengan BN, terdapat suara daripada akar umbi yang mahukan perubahan ke atas parti itu agar kekal relevan.
MIC tumbang pada PRU ke-14 yang lalu apabila parti itu hanya memenangi dua kawasan parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada jumlah 27 yang ditandinginya.
Pada masa yang sama, terdapat pemimpin dalam parti itu yang dilihat cenderung mahukan MIC menjauhi atau menubuhkan satu gabungan baharu tanpa Umno bagi mengembalikan keyakinan pengundi India terhadap MIC pada masa akan datang.
Pergeseran Umno dan MIC di dalam usaha meletakkan calon di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson turut dijangka dibangkitkan oleh para wakil pada mesyuarat kali ini.
Hubungan MIC-PAS
MIC yang ditubuhkan pada 1946, menjadi sekutu Umno dan MCA dalam gabungan Perikatan pada tahun 1954. MIC juga pengasas bersama gabungan BN pada tahun 1973.
MIC juga kini dilihat sedia bekerjasama dengan PAS.
Dalam kenyataan baru-baru ini, Vigneswaran yang juga berkata bahawa partinya bersedia bekerjasama dengan PAS pada masa akan datang.
Pada Muktamar PAS September lalu, MIC turut menghantar wakil.
Semasa ucapan di muktamar, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka mengundang MIC dan Umno untuk menubuhkan satu gabungan baru bersama PAS.
Namun, masih ada segelintir berpendapat hubungan MIC dan PAS akan menyemarakkan lagi kemarahan pengundi India terhadap MIC.
Selain isu Umno dan PAS, politik semasa, penghijrahan ahli parti ke Pakatan Harapan, dakwaan kecelaruaan pemilihan parti yang diadakan pada minggu lepas dijangka akan mendapat perhatian para wakil.
Perhimpunan yang akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 27 Oktober, esok akan dihadiri lebih 2,000 perwakilan termasuk delegasi dan pemerhati dari seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.